HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 Jun 2018

Muhyiddin arah Fuzi serah laporan kes Siti Kasim

 
Menteri Dalam Negeri itu berkata beliau sudah mengambil perhatian berhubung bantahan awam tetapi beliau perlu menyeimbangkan pelbagai kepentingan tanpa menghalang siasatan polis.


Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata doktrin pengasingan kuasa harus dihormati.


PETALING JAYA: Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah mengarahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun untuk menyerahkan laporan komprehensif berhubung penahanan peguam dan aktivis Siti Kasim yang dituduh menculik anak guamnya dan menghalang pegawai polis menjalankan tugas.

Muhyiddin berkata beliau sudah minta laporan itu diserahkan sebelum sebarang tindakan diambil berhubung hal itu.

Katanya, beliau sudah mengambil perhatian berkenaan bantahan awam berhubung hal itu sebagai menteri dalam negeri, beliau perlu menyeimbangkan kepentingan awam dengan kepentingan peribadi mereka yang terkesan secara langsung tanpa menghalang siasatan polis.

“Saya juga sudah ambil perhatian respons Siti Kasim bahawa beliau sepanjang masa bertindak sebagai peguam kepada mangsa.
“Saya benar-benar sedar akan hak individu kepada peguam, dan hak peguam untuk bertindak tanpa menjadi subjek kepada ancaman dan gangguan oleh mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan.

Muhyiddin juga berkata, permohonan reman lanjut oleh polis ditolak mahkamah dan berkata ia konsisten dengan doktrin pengasingan kuasa.

“Peranan mahkamah untuk menghakimi merit permohonan polis, dan menyeimbangkannya terhadap kebebasan asasi termaktub bawah Perlembagaan harus dihormati oleh semua pihak terlibat,” katanya.

Siti hari ini menafikan dakwaan polis bahawa pihaknya menyelamatkan anak guam peguam itu dan menuduhnya menculik.

Dalam video yang dimuat naik di Facebook, beliau berkata beliau tidak mempunyai sebab untuk menculik anak guamnya.

“Kenapa saya mahu menculiknya? Untuk apa? Adakah saya menghantar nota tebusan?” soalnya.

Katanya, beliau yang terkejut dengan tindakan polis itu berkata mereka sepatutnya melakukan siasatan menyeluruh terhadap dakwaan beliau menculik anak guamnya, bukannya menyerbu rumahnya selepas mendapat satu laporan.

Katanya, beliau berharap menteri dalam negeri akan meneliti tindakan polis tersebut yang disifatkan sebagai “menindas”, supaya kejadian sedemikian tidak berulang di era “Malaysia baharu”.

Difahamkan anak guam Siti, seorang perempuan berusia 20-an, diambil polis, selepas ibunya membuat aduan tentang keadaan akidah anaknya.

Terdahulu Siti berkata perempuan itu, yang mendakwa didera ibunya, “diculik” polis dan pihak berkuasa agama di Selangor.

Video di Facebook memaparkan Siti di balai polis, menuntut anak guamnya dibebaskan. Kedengaran suara seorang perempuan menafikan dia diculik Siti.

Siti ditahan di ibu pejabat polis Kajang pada Sabtu dan dibebaskan semalam selepas Mahkamah Majistret menolak permohonan reman terhadapnya atas dakwaan menghalang pihak berkuasa menjalankan tugas.

Beliau mengkritik pihak polis yang mendakwa mereka menyelamatkan anak guamnya “tanpa meneliti fakta”.

Siti ditahan di ibu pejabat polis Kajang, beberapa jam selepas anggota memasuki rumahnya kerana ada laporan menuduh beliau mengurung seorang perempuan secara paksa.

Tiada ulasan: