HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Jun 2018

Siapa ganti Nazir Razak di CIMB Group?

THE MALAYSIAN INSIGHT
Pengerusi CIMB Group Nazir Razak dilaporkan mahu tinggalkan syarikat untuk menubuhkan syarikat pelaburan sendiri. – Gambar EPA
 
TOKOH korporat Nazir Razak akan meninggalkan jawatannya sebagai pengerusi CIMB Group untuk menubuhkan syarikat pelaburannya sendiri, lapor The Star.

Laporan itu turut menimbulkan spekulasi sama ada adik bongsu bekas perdana menteri Najib itu akan terus kekal sebagai pengerusi sehingga tamat perkhidmatan pada Mac depan.

Ini memandangkan, tokoh penting di sebalik kejayaan CIMB Group itu dilaporkan tidak memohon untuk dipilih semula ke jawatan tersebut.

Laporan memetik sumber menyebut, lembaga pengarah CIMB Group kini sudah mula mencari calon pengganti Nazir.

“(Nazir) beritahu lembaga bahawa beliau akan keluar dan tidak memohon pemilihan semula. Lembaga sedang mencari pengganti,” kata sumber itu seperti dipetik The Star.

Tidak seperti pengerusi lembaga dan syarikat milik kerajaan yang lain, Nazir tidak dipanggil untuk memberi taklimat kepada Majlis Penasihat Kerajaan.

Beliau diketahui sebagai antara tokoh yang membuat pendirian tegas ke atas tindak-tanduk kerajaan pimpinan abangnya sebelum ini dalam pentadbiran dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Siasatan ke atas aliran wang 1MDB itu sedang berjalan di beberapa negara dan abangnya Najib berdepan tuduhan menerima wang daripada syarikat pelaburan yang dibelit hutang itu.

Nazir yang juga bekas ketua pegawai eksekutif dilaporkan melarang keras CIMB daripada terlibat dengan apa-apa urusan 1MDB.

“Pegawai Nazir diarah dengan tegas supaya mematuhi garis panduan agar tidak menyentuh apa-apa, atau menguruskan apa-apa transaksi melibatkan 1MDB,” kata sumber The Star.

Laporan menyebut, syarikat pelaburan baharu Nazir dijangka akan meraih dana sehingga AS$1 bilion (RM4.04 bilion) dan sudah menarik minat beberapa pelabur kaya.

Tiada ulasan: