HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 Jun 2018

Kelantan beri peruntukan pada ADUN pembangkang

 
   
Selepas memerintah 28 tahun, kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS akhirnya membuat keputusan untuk menyalurkan peruntukan kepada semua ADUN pembangkang.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, perkara itu sudah menjadi agenda dalam mesyuarat exco kerajaan negeri dan di peringkat perbincangan lanjut.

"Cuma setakat ini jumlahnya kita sedang bincang.

"Tengoklah, setakat ini kita bagi kepada wakil rakyat kerajaan RM100,000 (setahun)," katanya ketika ditanya jumlah peruntukan yang akan diberikan itu.

Sebelum ini, PAS yang memerintah di negeri itu sejak 1990 tidak pernah memberi sebarang peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

Bercakap kepada media pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Yayasan Islam Kelantan (YIK) di Kota Bharu, hari ini katanya, pelbagai cadangan diterima pihaknya berhubung jumlah peruntukan yang perlu disalurkan itu.

"Ada macam-macam cadangan, ada yang suruh bagi (jumlah) sama, ada yang minta kurangkan sedikit.

"Jadi perkara itu kita belum buat keputusan mengenai jumlahnya, " kata beliau.

Langkah kerajaan Kelantan itu sekali gus dilihat mengikuti langkah kerajaan persekutuan yang diterajui sebelum ini mengumumkan akan memberi peruntukan kepada anggota parlimen pembangkang.

Tiada ulasan: