HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Jun 2018

Ku Li boleh satukan Umno, kata penganalisis

 
 
Beliau dihormati kerana berdarah raja, rekod perkhidmatan, imej bersih dan sikap ikhlasnya, kata Kamarul Zaman Yusoff 


Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah merupakan salah seorang calon merebut kerusi presiden parti.


PETALING JAYA: Penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff memilih Tengku Razaleigh sebagai pemimpin paling berkemampuan menyatukan Umno dalam kalangan calon yang bertanding merebut jawatan presiden parti itu.

Bercakap kepada FMT, Kamarul percaya Ahli Parlimen Gua Musang itu lebih dihormati dalam Umno kerana berketurunan raja dan rekod khidmat beliau kepada negara berbanding 4 pesaing lain.

Beliau juga berkata, Razaleigh kelihatan calon paling ikhlas daripada petanding lain, termasuk pemangku presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

“Beliau berikrar mahu berkhidmat sebagai presiden parti selama satu penggal sahaja dan kini berumur 81 tahun, jadi beliau tidak dilihat mempunyai aspirasi politik yang tinggi,” katanya.
“Jika beliau menang, ahli parti lebih berkemungkinan akur kepadanya kerana beliau kelihatan paling ikhlas.”

Kamarul memberi respons terhadap kenyataan terbaru Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai dakwaan perpecahan dalam Umno.

Dalam temu bual dengan Channel NewsAsia, Dr Mahathir berkata, ketiadaan perpaduan menyukarkan Umno untuk berperanan sebagai parti pembangkang yang berkesan.

Kamarul juga berkata, ahli Umno sukar mencari kesalahan Razaleigh kerana beliau tidak terpalit dengan dakwaan rasuah.

“Selain bersih, Tengku Razaleigh juga dilihat mewakili keseimbangan antara terlalu liberal seperti Khairy dan terlalu konservatif seperti Zahid. Pragmatisme ini diperlukan bagi menyatukan parti.”

Tiada ulasan: