HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Jun 2018

Putrajaya siasat kes kanak-kanak 11 tahun jadi isteri ke-3

 
Lelaki berusia 41 tahun itu dilaporkan mengakui perkahwinannya yang diadakan di Selatan Thailand pada 18 Jun lalu ialah nikah gantung.


Gambar lelaki berusia 41 tahun dengan isteri ke-3 yang berusia 11 tahun tersebar di Facebook.


PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kerajaan akan menyiasat kes seorang kanak-kanak 11 tahun yang dikahwinkan sebagai isteri ke-3 seorang lelaki berusia 41 tahun dari Gua Musang, Kelantan.

Menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat diarah mendapatkan maklumat lanjut dengan menemui ibu kanak-kanak itu, selepas beliau menerima laporan kes itu.

“Buat masa ini, siasatan secara menyeluruh perlu dilakukan kerana ia melibatkan Enakmen Undang-undang Syariah negeri.

“Selain itu, kita kena ambil kira semua aspek mengapa ia berlaku. Adakah ia disebabkan masalah kemiskinan, pendidikan, kekeluargaan mahupun masalah lain yang berada di sekeliling budak terbabit,” katanya dipetik Bernama selepas melawat projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedah/Anak Bukit di Alor Setar, hari ini.
Semalam, isteri ke-2 lelaki itu yang marah, bertindak berkongsi perkahwinan ke-3 suaminya dengan kanak-kanak itu di Facebook, sebelum memadamkan semua catatan selepas kisah berkenaan tersebar luas di media sosial.

Difahamkan, kanak-kanak itu ialah rakan anaknya bersama isteri pertama. Peraih getah sekerap itu mempunyai 6 anak hasil daripada 2 perkahwinan.

Sementara itu, Sinar Harian memetik lelaki itu yang mengakui perkahwinan ketiganya diadakan di Selatan Thailand pada 18 Jun lalu atau 4 Syawal dan ia hanyalah nikah gantung.

“Saya mengenali isteri ke-3 saya sudah lama dan saya menyembunyikan pernikahan ini untuk mengelakkan terjadinya perselisihan faham bagi 2 isteri lain.

“Saya nikah gantung dan tidak tinggal bersama isteri ke-3. Dia masih berada di bawah jagaan ibu bapanya dan kami sudah berjanji akan mengambil isteri saya apabila dia cukup umur.

“Perkara ini tidak salah kerana saya sudah rujuk mereka yang lebih arif di Selatan Thailand. Janganlah menyalahkan saya dan mengaibkan kami,” katanya dipetik akhbar itu.

Tiada ulasan: