Khairy Jamaluddin, Zahid Hamidi dan Tengku Razaleigh berentap di pentas debat pada malam pemilihan esok.
PETALING JAYA: Calon presiden Umno, Khairy Jamaluddin malam tadi mempertahankan Umno daripada prestasi terburuk parti itu pada pilihan raya 9 Mei, dan meletakkan kesalahan pada bahu barisan kepimpinan parti.
Dalam debat yang disiarkan secara langsung dan terbuka, Khairy akui dirinya juga menyumbang kepada kemelaratan masalah dalam Umno, yang akhirnya menyebabkan ia ditolak rakyat.
“Saya akui melakukan kesilapan kerana tidak menyampaikan kebenaran kepada pucuk pimpinan parti. Saya mohon maaf kepada ahli-ahli Umno dan rakyat.
“Saya telah gagal,” kata bekas ketua Pemuda ini di program debat presiden Umno anjuran Astro Awani.
Khairy Jamaluddin bersama 2 lagi calon pilihan, Tengku Razaleigh Hamzah dan Ahmad Zahid Hamidi, untuk jawatan nombor 1 parti berentap di pentas debat pada malam pemilihan yang akan berlangsung esok.
Pemenang akan mengemudi parti ketika Umno pertama kali menjadi pembangkang persekutuan selepas 60 tahun memerintah negara.
Meskipun ketiga-tiga calon ini membawa mesej pembaharuan, Khairy ke depan membawa mesej pembaharuan melalui kepimpinan orang muda dan wanita, dan sedia mempertimbangkan idea radikal dalam usaha menjadikan partinya kembali relevan, seperti membuka Umno kepada kaum lain.
Ku Li presiden sepenggal
Tengku Razaleigh, yang dilihat sebagai lawan semula jadi kepada Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad berkata dia mahu melaksanakan pembaharuan parti dalam tempoh sepenggal menjadi presiden.
Ditannya adakah ini bermakna beliau hanya mahu menjadi presiden sepenggal, bekas menteri kewangan itu berkata dia sedia menyambung khidmat hanya jika ada keperluan.
“Kita lakukan program perubahan dalam Umno dalam masa 3 tahun. Tak keterlaluan kalau berkhidmat 3 tahun, tak boleh lebih dari itu,” katanya.
Pemilihan kali ini merupakan cubaan kedua Tengku Razaleigh untuk jawatan presiden Umno, selepas perlawanan bersejarah antara dia dan Dr Mahathir pada 1978 yang membawa kepada perpecahan dan pengharaman parti.
Kerabat diraja ini merupakan Ahli Parlimen yang paling lama berkhidmat dan satu-satunya calon daripada Umno asal.
Beliau menyeru parti supaya kembali kepada perjuangan asal, ketika Umno dihormati rakyat.
Zahid boleh baca Dr M
Sementara itu, Zahid merasakan dia boleh menjadi pemimpin yang berkesan, kerana dia boleh membaca gerak lawannya, Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir dan Ketua Umum PH Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bekas menteri dalam negeri ini berkata Dr Mahathir dan Anwar, yang masing-masing pernah menjadi presiden dan timbalan presiden Umno, berfikir dalam acuan Umno.
“Saya boleh baca sekilas ikan di air, jantan betinanya,” katanya.
Berbanding 2 lawannya, Zahid dilihat lebih dekat kepada golongan Islamis dan PAS yang mendapat sokongan 30-33% pada pilihan raya lepas menurut kajian Merdeka Centre.
Umno-BN pula disokong 35%-40% orang Melayu dan gandingan Umno-PAS akan membentuk blok pembangkang majoriti Melayu menentang PH, yang hanya memperoleh 25%-30% sokongan orang Melayu.
Zahid bertanding atas platform kesinambungan, memandangkan dia sekarang menggalas tugas-tugas presiden sejak peletakan jawatan Datuk Seri Najib Razak.
Seramai hampir 150,000 perwakilan akan mengundi pada pemilihan jawatan tertinggi parti esok.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan