HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Jun 2018

NGO mahu peguam kes Scorpene dibenar masuk ke Malaysia

THE MALAYSIAN INSIGHT
Pembelian kapal selam Scorpene telahpun didakwa di mahkamah Perancis pada 2009. – Gambar EPA,
 
NGO hak asasi menggesa kerajaan menarik semula sekatan terhadap peguam Perancis yang mengendalikan kes kapal selam Scorpene untuk masuk ke negara ini.

Menurut Suaram dan C4, ia bagi membolehkan peguam tersebut, William Bourdon menasihati kerajaan berhubung kes yang melibatkan Najib Razak semasa mengetuai kementerian pertahanan.

“Memandangkan kerajaan Pakatan Harapan memberi komitmen tinggi untuk menghapus rasuah, kami menyeru Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin membatalkan sekatan yang dikenakan terhadap William Bourdon dengan segera.

“Langkah ini membolehkan beliau memasuki Malaysia dan memberi nasihat kepada kerajaan, khususnya menteri pertahanan mengenai perkembangan terkini kes, dan langkah seterusnya yang akan diambil untuk memastikan kes itu dapat diteruskan tanpa halangan di mahkamah Perancis,” kata NGO tersebut dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas NGO berkenaan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu semalam.

Dalam pertemuan itu, mereka dimaklumkan bahawa Bourdon sedang mengatur pertemuan dengan kerajaan Malaysia, namun peguam itu tidak akan dapat masuk ke negara ini kerana disekat masuk sejak 2011.

Sekatan itu dibuat oleh pentadbiran Najib selepas Suaram memfailkan saman di Perancis mengenai penglibatan Malaysia dalam urus niaga pembelian dua kapal selam Scorpene.

Dua orang eksekutif utama daripada syarikat yang terlibat dengan kes rasuah dalam pembelian kapal selam tersebut telahpun didakwa di mahkamah Perancis pada 2009.

Tumpuan utama kini adalah sebuah syarikat dikaitkan dengan penasihat Najib, Abdul Razak Baginda, iaitu Perimekar Sdn Bhd yang didakwa menerima RM540 juta sebagai komisen bagi perjanjian pembelian tersebut.

Beberapa dana dari penjualan juga didakwa disalurkan ke sebuah lagi syarikat yang juga dikaitkan dengan Abdul Razak, Terasasi Ltd yang didaftarkan di Hong Kong.

Pada 22 Jun lalu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengesahkan bahawa Perancis masih menyiasat pembelian kapal selam kontroversi berkenaan yang bernilai 1 bilion Euro.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu juga baru-baru ini mengumumkan, kementeriannya akan menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyiasat kes Scorpene

Tiada ulasan: