HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Jun 2018

'UMNO ambil jalan mudah, kita caci dan hina' - Khaled Nordin

Shahrul Hassan, Astro Awani
'UMNO ambil jalan mudah, kita caci dan hina' - Khaled Nordin
Mohamed Khaled mengakui, UMNO tidak tahu bagaimana untuk berhadapan dengan Tun Mahathir secara matang dan strategik, sehingga menyebabkan kejatuhan parti itu. - Astro AWANI/Fail
 

PASIR GUDANG: Tindakan UMNO Johor yang memilih untuk menyerang Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada pemerintahannya lalu menjadi punca kejatuhan parti itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) baru-baru ini.

Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ia tidak bermaksud beliau menyokong 100 peratus tindakan Dr Mahathir, termasuk keputusannya untuk meninggalkan dan menentang parti yang pernah diterajuinya dahulu.

Namun Mohamed Khaled mengakui, UMNO tidak tahu bagaimana untuk berhadapan dengan negarawan itu secara matang dan strategik.

"Kami ambil jalan mudah. Iaitu, kita caci dan hina beliau. Segala macam gelaran kita gunakan. Termasuk mempersendakan keturunannya. Kita lupa batas moral. Kita lupa bahawa yang kita cerca itu, negarawan yang luar biasa darma baktinya pada bangsa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang di Amansari Seri Alam hari ini.


Mohamed Khaled juga memberitahu, kerana sikap keras dan sombong ahli UMNO, rakyat menjadi semakin marah kepada parti itu, seterusnya memberi ruang dan peluang kepada Dr Mahathir kembali kepada rakyat dan diberikan sanjungan serta kepercayaan untuk mengemudi semula negara.

Beliau pada masa sama berkata, sedikit sebanyak sokongan yang Dr Mahathir terima dari rakyat adalah susulan cara kasar UMNO melayani beliau.

Tambah Mohamed Khaled, UMNO turut gagal berpegang kepada nilai untuk berbakti kepada bangsa dan membuahkan kebaikan kepada masyarakat.

Ahli parti lakukan sebaliknya, dengan mengungkit bahawa orang Melayu perlu berterima kasih kepada UMNO dan bukan sebaliknya, tambah beliau.

Tiada ulasan: