HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 Jun 2018

Rafizi hantar surat representasi pada AG dalam kes Tabung Haji

 
   

Peguam yang mewakili naib presiden PKR, Rafizi Ramli akan menghantar surat representasi kepada Jabatan Peguam Negara berhubung dakwaan fitnah ke atasnya berkaitan posting Facebook yang dikatakan mencemarkan imej Tabung Haji tiga tahun lalu.

Peguam Rafizi, Nik Zarith Nik Moustpha memberitahu perkara ini kepada Mahkamah Majistret Kuala Lumpur sebelum diberikan tarikh untuk memfailkan permohonan pada akhir kes pendakwaan.

Ini kali pertama Rafizi akan memfailkan surat representasi kepada Peguam negara yang baru Tommy Thomas untuk mempertimbangkan agar pertuduhan berkenaan digugurkan, katanya.

Sementara itu, majistret Umzarul An-Nur menetapkan 30 Julai bagi pihak-pihak terlibat memfailkan permohonan mereka.

Majistret juga menetapkan 28 Ogos untuk membuat keputusan sama ada akan memerintahkan Rafizi membela diri.

Rafizi didakwa pada 2016 kerana menyiarkan artikel bertajuk "Analisa Kewangan Tabung Haji 2009-2015" di Facebooknya.

Posting itu dilihat oleh pegawai Tabung Haji di tingkat 18 Tabung Haji, Jalan Tun Razak pada 18 Feb 2016.

Bekas anggota parlimen Pandan itu didakwa mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan berdepan hukuman dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Awal bulan ini Rafizi dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan dengan bon berkelakuan sebanyak RM10,000 selama dua tahun kerana memiliki dan mendedahkan butir-butir laporan audit 1MDB itu pada sidang akhbar di Parlimen pada 24 Mac 2016.

Beliau dituduh di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Rafizi juga disabitkan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam awal tahun ini dan dijatuhi hukuman penjara 30 bulan kerana melanggar Akta Perbankan dan Institusi Kewangan 1989 kerana mendedahkan akaun berkaitan National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) dan bekas pengerusinya, Tan Sri Mohd Salleh Ismail.


Tiada ulasan: