HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Jun 2018

Tindakan beku akaun Umno untuk beri tekanan kepada pemimpin parti

THE MALAYSIAN INSIGHT
Calon Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tun Faisal Ismail Aziz (tengah) yakin tindakan membekukan akaun parti itu dilakukan bukan untuk menyiasat skandal 1Malaysia Development Berhad. – Gambar Facebook
 
AKAUN Umno dibekukan semata-mata untuk memberi tekanan kepada pimpinan dan ahli-ahli parti, dan bukannya untuk menyiasat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Tun Faisal Ismail Aziz.

Beliau yang juga merupakan calon bagi jawatan Ahli Majlis Tertinggi parti itu berkata, sepatutnya kerajaan memberi tumpuan mencari bukti bagi mengukuhkan segala dakwaan yang dibuat.

“Sehingga kini rakyat tidak dapat melihat bukti-bukti yang menunjukkan RM2.6 bilion duit 1MDB dicuri oleh rakyat sebaliknya disajikan dengan drama penggeledahan oleh pihak polis dan kenyataan-kenyataan tidak berintegriti pihak berkuasa,” kata beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Awal hari ini, media melaporkan yang pemangku presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata menerima panggilan telefon mengenai pembekuan akaun bank parti itu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ia dilihat sebagai satu lagi tamparan yang akan menjejaskan perjalanan parti dan usaha memulihkan parti utama dalam gabungan Barisan Nasional itu.

Zahid juga dilaporkan berkata, SPRM dijangka turut akan membekukan akaun parti Umno Johor.

“Begitu sukar nampaknya pihak berkuasa membukti kan duit RM2.6 bilion dicuri sehingga terpaksa mencari-cari kesalahan di bawah Akta Anti Penggubahan Wang Haram pula sehingga perlu membekukan akaun Umno negeri pula,” kata Tun Faisal.

Justeru, beliau berkata SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu berusaha mengumpul bukti dan menyempurnakan siasatan untuk diserahkan kepada peguam negara bagi ditentukan sama ada bukti-bukti prima facie dan melangkaui keraguan yang munasabah.

“Tidak masuk akal jika pihak PDRM dan SPRM tidak mampu menunjukkan bukti-bukti kepada dakwaan ini sedangkan kerajaan hari ini menguasai 1MDB, Kementerian Kewangan, Bank Negara dan semua agensi penyiasatan,” katanya.

Tiada ulasan: