HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 Jun 2018

Ahad minggu pertama Julai sambutan ‘Hari Ibu dan Bapa’ – DPM

THE MALAYSIAN TIMES
 


KANGAR: Ahad minggu pertama pada Julai setiap tahun diisytiharkan sebagai sambutan Hari Ibu dan Bapa, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata sambutan Hari Ibu dan Hari Bapa yang sebelum ini diasingkan kini digabungkan bermula tahun ini.

“Sambutan Hari Ibu dan Bapa adalah bagi menghargai komitmen mereka dalam mendidik dan membesarkan anak.

“Kesungguhan dan komitmen ibu bapalah yang membentuk sebuah keluarga yang bahagia dan sejahtera,” ucap beliau pada sambutan Hari Ibu dan Bapa Peringkat Kebangsaan bertemakan ‘Ibu dan Bapa Anugerah Terindah’ di Dewan 2020, di sini hari ini.

Dalam pada itu, menyedari hakikat jumlah wanita bekerjaya kini semakin meningkat dan memberi impak kepada institusi kekeluargaan, pihaknya akan menubuhkan Majlis Penasihat dan Perundingan Kesejahteraan Keluarga Negara (MPPKKN) pada Ogos ini.

“Satu daripada lima wanita bekerja alami masalah untuk mengimbangi peranan di antara kerjaya dan keluarga.

“Masalah utama dihadapi wanita bekerja ialah meluangkan masa bersama keluarga, penjagaan anak dan kurang masa untuk diri sendiri,” kata Wan Azizah.

Beliau berkata Kajian Indeks Kesejahteraan Keluarga 2016 juga mendapati tahap hubungan kekeluargaan di Malaysia masih pada tahap sederhana.

Wan Azizah berkata beliau sendiri akan mempengerusikan MPPKKN, yang akan bertindak sebagai badan penasihat dan perunding utama kepada kerajaan mengenai isu-isu kekeluargaan.

“Majlis itu juga akan meningkatkan komitmen dan penglibatan pelbagai pihak untuk mengutamakan perspektif keluarga dalam segala usaha pembangunan sosio-ekonomi termasuk penguatkuasaan undang-undang, dasar dan perkhidmatan serta kemudahan mesra keluarga,” katanya.– Bernama

Tiada ulasan: