THE MALAYSIAN TIMES
KOTA BHARU: Hubungan antara kerajaan negeri Kelantan dan kerajaan persekutuan tidak sepatutnya diuruskan oleh “orang tengah”, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
Beliau berkata hubungan antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan sepatutnya berlangsung atas semangat federalisme dan ‘ketiadaan’ orang tengah tidak sepatutnya menjadi satu isu besar.
Mohd Amar berkata berkata hubungan itu perlu dilakukan secara langsung dan pihaknya tidak mempunyai masalah berhubung perkara berkenaan.
“Daripada pandangan kita, kalau tiada menteri (atau timbalan menteri kabinet) dari Kelantan pun tidak ada masalah sebab yang penting adalah hubungan antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.
“Itulah antara tujuan utama Menteri Besar (Datuk Ahmad Yakob) membuat kunjungan kepada Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) Isnin lepas untuk membina hubungan antara kerajaan persekutuan yang baharu dan kerajaan negeri atas semangat federalisme,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Hari Raya Aidifiltiri anjuran Yayasan Islam Kelantan (YIK) yang turut dihadiri Datuk Ahmad Yakob di Nilam Puri di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Mohd Amar berkata kerajaan negeri secara dasarnya bersetuju untuk memberi peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang di Kelantan untuk menjalankan tugas mereka dengan lebih berkesan.
Beliau berkata perkara tersebut telah diputuskan dalam mesyuarat Exco baru-baru ini namun jumlah peruntukan yang akan diberikan belum diputuskan.
“Setakat ini wakil rakyat kerajaan diberi RM100,000 setahun. Jadi ada macam-macam cadangan, ada yang kata nak bagi sama (banyak), ada yang kata nak bagi kurang sedikit. Itu yang kita tengah bincang,” katanya.– Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan