Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkata polis tidak sepatutnya meninggalkan sesetengah fakta berhubung rampasan barangan kemas dan jam tangan dari premis yang dikaitkan dengan dirinya.
"Sebagai contoh, polis pada sidang akhbar berkata bahawa jam tangan paling mahal ialah Rolex Daytona yang menurut anggaran mereka bernilai RM3.4 juta," katanya.
Najib berkata, jam itu adalah hadiah baru-baru ini bersama beberapa barangan berharga lain yang diberikan oleh seorang menteri dalam negeri, yang juga seorang putera dari sebuah negara di Asia Barat, yang melawat Malaysia pada Mac tahun ini.
"Polis juga sepatutnya menyatakan bahawa barangan bersama dengan beberapa yang lain berada dalam kotak dengan lambang diraja negara asing itu.
"Fakta ini tidak sepatutnya ditinggalkan," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Pada 15 Mac lalu, adalah dilaporkan bahawa Menteri Dalam Negeri Saudi Putera Abdulaziz Saud Al-Saud mengunjung Najib di pejabatnya di bangunan Parlimen.
Mesyuarat itu adalah yang atur cara terakhir putera itu semasa lawatan tiga harinya ke Malaysia.
Bekas presiden Umno itu seterusnya berkata, jumlah dan nilai barangan yang dirampas berkenaan sebagai sengaja dibesar-besarkan manakala sidang akhbar yang diadakan untuk mengumumkannya, sebagai "dendam politik" terhadap keluarganya.
Menurut Najib, banyak barang yang dirampas itu disimpan di dalam kotak yang dilabelkan oleh anggota staf dengan huraian butirannya, gambar, tarikh hadiah diberikan, serta identiti mereka yang memberikan hadiah berkenaan.
Kebanyakan hadiah itu juga adalah daripada rakan, pegawai asing dan kerabat diraja untuk pelbagai majlis, termasuk lawatan rasmi dan acara peribadi seperti sambutan hari lahir, ulang tahun perkahwinan dan majlis pertunangan, katanya.
"Memandangkan sebahagian besar barangan itu adalah hadiah yang terkumpul selama beberapa dekad, ahli keluarga tidak menyedari betapa banyak yang dibayar oleh mereka yang memberi barang-barang ini.
"Sebarang penilaian berdasarkan harga belian dan pada harga semasa adalah tidak realistik, mungkin terlalu tinggi dan akan memberikan gambaran yang salah kerana barang-barang ini diterima sebagai hadiah sepanjang tempoh puluhan tahun."
Najib, yang juga anggota parlimen Pekan, kemudian berjanji untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis mengenai siasatan itu.
"Sekiranya polis memanggil keluarga kami untuk disoal-siasat ... dengan kemampuan terbaik, kami akan membantu pihak polis mengenal pasti mereka yang memberikan hadiah itu sepanjang beberapa dekad itu."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan