HALAMAN SANTAI

Rabu, 27 Jun 2018

Kekalahan PRU14 supaya UMNO bangkit dari tidur – Ismail Sabri

Muhamad Izwan Mohd Zubit
Ismail Sabri
Ismail Sabri Yaakob


KUALA LUMPUR – Calon Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan kekalahan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) memberikan pengajaran supaya parti bangkit daripada tidur kerana tidak mendengar suara akar umbi.

Ismail Sabri berkata selepas kekalahan pucuk pimpinan mula membicarakan soal perubahan dan transformasi parti yang mana ia satu permulaan yang baik kepada UMNO untuk bangkit semula.

“Kita sebagai orang Islam percaya setiap kejadian itu ada hikmahnya, mungkin hikmah yang terbesar adalah ALLAH memberikan kita peluang untuk kita berfikir semula.

“Bak kata orang lepas mengantuk baru terngadah sebab itu, selepas PRU14 baru kita cakap soal transformasi, soal perubahan dan sebagainya, selepas kalah baru kita cuba, mungkin ALLAH nak beri kesedaran, agar kita bangkit dari tidur,” kata beliau dipetik dalam wawancara akhbar Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata sekiranya tidak kalah UMNO pasti akan kekal dengan cara lama dan akan menyebabkan kelak rakyat menolak mereka pada masa depan.

“Mungkin kalau tak kalah, kita terus dengan cara lama, dan akhirnya orang akan tolak kita juga, kalau kita lihat kumpulan yang banyak menolak kita daripada golongan muda, jadi kalau kita tak sedar lagi bermakna akhirnya kita akan terus ditolak.

“Kita perlu lihat program kita semula yang mungkin tak menarik bagi mereka, jadi apa yang perlu dilakukan ialah melihat perubahan ini,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Ismail juga berkata media sosial memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi rakyat dan aspek tersebut perlu ditumpukan UMNO sebagai persediaan yang utama untuk menawan semula hati rakyat.

“Media sosial medium yang penting selama ini, hanya tertumpu kepada orang bandar sahaja , untuk orang kampung mungkin tak peduli kepada media sosial tapi kita lupa pengaruh anak-anak muda di mana mereka yang ada di Kuala Lumpur boleh mengubah pemikiran ibu bapa yang tak pernah lihat media sosial, jadi media sosial perlu diberi perhatian,” katanya.

Jelasnya lagi, kegagalan menjawab isu yang dibangkitkan pihak lawan juga menjadi punca penolakan rakyat semasa PRU14 lalu.

“Ketiganya dari segi perkhidmatan, kita menganggap apabila memberi perkhidmatan itu sudah pun mencukupi, sebenarnya kita sedar selepas kekalahan kita selain daripada memberi perkhidmatan. Isu merupakan perkara penting.

“Rakyat Malaysia sekarang tidak lagi rasa cukup dengan perkhidmatan yang diberi tetapi isu juga boleh pengaruhi mereka, jadi kalau setakat kita memberi perkhidmatan di kampung misalnya, tetapi isu tak boleh diselesaikan atau pun segala isu tidak dijawab dengan baik pun boleh beri kesan kepada kita,” katanya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: