TINJAUAN | Umno mungkin telah kehilangan kuasa sebagai kerajaan persekutuan, namun calon presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi minggu lalu mendakwa parti itu tidak perlu menunggu hingga pilihan raya seterusnya untuk membentuk kerajaan semula.
Pakatan Harapan (HARAPAN) goyah, katanya, dan mana-mana individu yang keluar daripada pakatan itu akan datang kepada Umno.
Pada mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Titiwangsa hari ini, anggota parti itu berkata mereka meletakkan kepercayaan kepada pimpinan untuk mengembalikan kuasa kepada Umno sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-15.
"Pemimpin-pemimpin tertinggi, apabila mereka memberikan pendapat, mereka mungkin mempunyai strategi yang kita di bawah tidak tahu.
"Insya-Allah, jika mereka bekerja keras, ia akan terjadi," kata Yazid Mydin, 48, kepada Malaysiakini di Flamingo Hotel di Kuala Lumpur yang juaga merupakan tempat mesyuarat berkenaan diadakan.
Pendapat serupa disuarakan Nooraziyah Aziz (gambar), dengan berkata bahawa Umno perlu menapatkan pemimpin yang berkebolehan terlebih dahulu.
"Di peringkat akar umbi pun, kita perlukan perubahan dan pemimpin yang lebih baik. Bagi saya, kita perlu beri mereka (pemimpin) kepercayaan penuh.
"Kita perlu yakin dan kita akan boleh menang," katanya.
Ditanya tentang kemungkinan kerjasama antara Umno dan PAS, dia berkata dia terbukan untuk bekerjasama dengan PAS dalam perkara yang melibatkan agama memandangkan kedua-dua parti itu mempunyai hasrat serupa.
Dua yang lain, Siti Hazira Hadis, 57, dan Suhaimi Jasmin, 43, juga percaya Umno mampu menjadi kerajaan semula sebelum PRU ke-15, namun menjelaskan ia bergantung kepada kekuatan pemimpin baru yang dipilih dalam pemilihan parti itu hari ini.
"Saya setuju dan percaya Umno akan kembali berkuasa sebelum PRU ke-15 jika kepimpinan pusat mempunyai pasukan yang kuat.
"Saya percaya mereka boleh, mereka mungkin sudah belajar daripada kesilapan," kata Suhaimi namun menambah Umno sudah cukup kuat walaupun tanpa kerjasama PAS.
"Jika Umno sudah kuat, kita tidak perlu bergantung kepada sesiapa," katanya.
Zahid terlalu yakin
Beberapa anggota Umno, bagaimanapun memberitahu Malaysiakini bahawa mereka tidak setuju dengan kenyataan Ahmad Zahid.
Omar Abbas (gambar) berkata Umno perlu menjadi kerajaan dengan mengikut saluran pilihan raya yang betul.
"Bagi saya, satu-satunya cara untuk kembali berkuasa adalah melalui peti undi. Itu cara yang betul," katanya.
Dia juga tidak bersetuju Umno bekerjasama dengan PAS hanya untuk mendapatkan lebih banyak kerusi.
"Jika mahu bekerjasama, ia perlulah menjadi sebuah pakatan yang harmoni. Jika hanya untuk memenangi kerusi, tak ada guna," katanya.
Sementara Ismail Alias, 69, juga turut tidak yakin Umno mampu membentuk kerajaan sebelum PRU ke-15, dan mendakwa Ahmad Zahid terlebih yakin dalam membuat kenyataan itu.
"Dia (Ahmad Zahid) kata itu, dia terlebih yakin sebab BN beri banyak dan berjanji pun banyak. Jadi saya rasa, kalau buat begitu, orang akan terima, tapi mereka tak akan sokong.
"Dia yakin, tapi dia syok sendiri... Tapi ini tidak betul," katanya.
Sebaliknya, kata Ismail, Umno perlu menumpukan dalam usaha mengukuhkan perpaduan di dalam parti dan mendapatkan semula kepercayaan orang ramai dengan bersikap jujur.
Dia juga percaya Umno mampu berdiri sendiri dan hanya perlu bekerjasama dengan PAS dalam soal agama.
"Jika Umno mahu bekerjasama dengan PAS, ada cara yang betul untuk melakukannya.
"Jika tentang agama, atau orang serang Islam, boleh kerjasama dengan PAS, tapi jika hanya untuk menang, masing-masing parti mempunyai cara sendiri," katanya.
Umno akan memilih barisan pimpinan baru hari ini. Ketua Umno Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani bertanding bagi jawatan naib presiden parti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan