Katanya, pekeliling parti dikeluarkan pada 22 Mei yang mengarahkan bahagian menjalankan aktiviti mereka menggunakan dana sendiri tidak lagi terpakai kerana parti akan kembali menyalur peruntukan.
“Kami mendapati ada bahagian dan cawangan yang tiada asas kewangan kukuh, dan kerana itu ibu pejabat parti perlu bertanggungjawab dan kembali beri peruntukan.
“Dana itu akan digunakan untuk bayar kos pentadbiran, gaji dan aktiviti seperti sebelum ini,” kata bekas timbalan perdana menteri itu selepas majlis Hari Raya dengan Umno Sabah di Kota Kinabalu hari ini.
Zahid yang bertanding merebut jawatan presiden dalam pertandingan lima penjuru berkata peruntukan yang diberikan kepada cawangan Umno sejak zaman Najib Razak akan diteruskannya selaku pemangku jawatan presiden.
Zahid menggalas jawatan presiden selepas Najib berundur susulan kekalahan memalukan Barisan Nasional pada 9 Mei lalu.
Apabila ditanya mengenai tindakan Umno untuk menuntut wang yang dirampas dari kediaman Najib, Zahid berkata beliau akan menyerahkan perkara itu kepada polis.
Hari ini, polis mengumumkan nilai rampasan dari beberapa kediaman dikaitkan dengan Najib dalam siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad mencecah RM1.1 bilion.
Daripada jumlah itu, RM116.7 juta adalah dalam bentuk wang tunai pelbagai jenis mata wang.
Unit Komunikasi Strategik Umno sebelum ini mendakwa wang rampasan itu adalah milik parti untuk kegunaan kempen pilihan raya, polis hari ini berkata tiada sesiapa daripada Umno yang tampil menuntut wang tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan