HALAMAN SANTAI

Sabtu, 30 Jun 2018

Pengambilan pekerja Indonesia diharap lebih telus dengan k'jaan baru

 
   

WAWANCARA | Pertukaran kerajaan Malaysia diharap akan menjadikan proses pengambilan tenaga kerja Indonesia (TKI) di negara ini lebih telus dan bertanggungjawab.

Ini kerana sekurang-kurangnya Malaysia selaku pihak yang mengendalikan pengambilan TKI diambil alih oleh pentadbiran baru, kata Parti Solidariti Indonesia (PSI) dalam wawancara bersama Malaysiakini di Kuala Lumpur.

Ketua Umum Grace Natalie berkata isu TKI di Malaysia sering menegangkan hubungan dua negara jiran itu.

"Kini keadaan agak tenang tapi boleh panas lagi di masa depan.

"Ini adalah isu kompleks dan masalah ada di kedua-dua pihak, Indonesia dan Malaysia," katanya.

Ditipu agen

Di pihak Indonesia, Grace berkata antara masalah yang ada adalah sesetengah tenaga kerja direkrut melalui proses yang penuh kelemahan - tanpa dokumen yang diperlukan dan latihan yang sepatutnya berdasarkan pekerjaan yang akan diberikan sebaik tiba di Malaysia.

Pada masa sama, beliau berkata tidak sedikit laporan berhubung TKI yang ditipu agen dan diberikan kerja berbeza daripada apa yang dijanjikan kepada mereka.

"Justeru apa yang perlu dilakukan adalah membuka seluruh proses (agar telus). Semakin ramai yang dapat memantaunya dan menutup ruang untuk 'hanky panky' (muslihat)," katanya lagi.

Antara isu yang menimbulkan ketegangan adalah apabila pembantu rumah berusia 26 tahun Adelina Lisao - berasal dari Nusa Tenggara Timur - mati ketika menerima rawatan di Hospital Bukit Mertajam.




Punca kematian  dikatakan ekoran kegagalan organ selepas didera majikannya (gambar suspek, atas).

Malah PSI sebelum ini mengkritik hukuman ringan terhadap Datin Rozita Mohd Ali yang sebelum ini dikenakan jaminan RM20,000 untuk berkelakuan baik selama lima taun kerana mendera pembantu rumahnya Suyanti Sutrinso, 19 tahun.

Namun Mahkamah Tinggi Shah Alam kemudian mengenepikan hukuman itu dan menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun kepada Rozita.

"Apa yang memburukkan masalah adalah regim yang korup. Ramai yang didera, sehingga ada korban jiwa. Bertengkar (rakyat) dua negara.

"Ini sebenarnya gara-gara regim korup. Jadi memang diperlukan tadbir urus yang baik...Kita senang dengan apa yang terjadi di sini (pertukaran kerajaan)," katanya lagi.

Bagaimanapun Grace berkata PSI tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak tetapi menggesa penambahbaikan menyeluruh terhadap sistem pengambilan TKI.

Prejudis tak berpanjangan

Seorang lagi pemimpin PSI Dara Kesuma Nasution turut menyuarakan hal sama - salah laku terhadap TKI akan mencetuskan sentimen negatif rakyat Indonesia terhadap warga Malaysia.

Tetapi anggota dewan pimpinan pusat PSI itu memberi jaminan sentimen itu hanya sementara dan akhirnya akan ditujukan kepasa mereka yang benar-benar terlibat.

"Ia lebih kepada kes tertentu, kami tak melihat prejudis yang menyeluruh (terhadap orang Malaysia).

"Pada akhirnya, Kedua-dua negara mempunyai hubungan yang panjang dan saling memanfaatkan," kata wanita berusia 22 tahun itu yang akan membuat penampilan sulung sebagai calon bagi pemilihan legislatif Indonesia tahun depan.

Dalam sidang media bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Joko Widodo di Jakarta hari ini, kedua-dua pemimpin itu turut membangkitkan isu TKI termasuk mereka yang akhirnya menjadi pendatang haram dan menjadi sasaran tindakan Imigresen Malaysia.

Mahathir antara lain berkata Malaysia akan melihat kemungkinan untuk mewujudkan sekolah bagi anak-anak warga Indonesia, terutama di Sabah dan Sarawak.


Tiada ulasan: