MUNGKIN ramai yang sudah tahu kewujudan kisah dongeng Kotak Pandora (Pandora’s Box)
yang berasal dari Greek. Ia mengisahkan tentang kehidupan suami isteri
yang bahagia. Ketika mereka berkahwin, si isteri yang cantik bernama
Pandora telah dihadiahkan sebuah kotak. Dikatakan tuhan Zeus yang masih
marahkan manusia kerana menerima api daripada Prometheus telah
memberikan kotak itu sebagai membalas dendam. Tetapi kotak itu diberikan
berserta amaran, untuk tidak dibuka. Sebagai manusia, perasaan ingin
tahu, sangat membuak-buak. Dan Zeus tahu sikap manusia.
Setelah sekian lama, akhirnya Pandora
membuka juga kotak itu. Saat dibuka kotak itu, maka keluarlah segala
macam kejahatan, kebencian, kesengsaraan serta banyak lagi, dan ianya
tersebar dengan pantas. Pandora berjaya menutup kembali kotak itu dan
satu-satunya yang tinggal di dalamnya ialah harapan. Namun penyesalan,
sudah tidak bermakna lagi. Keadaan dunia telah menjadi kacau bilau dek
kerana terbebasnya unsur-unsur kejahatan itu.
Kisah dongeng ini hampir sama dengan
kisah Nabi kita Adam dan isteri Baginda, Hawa yang tidak dapat menahan
keinginan memakan buah Khuldi. Kedua kisah ini berkisar tentang nafsu
manusia, yang tidak sabar, tidak suka mendengar arahan tuhan, bertindak
di luar kewarasan dan tidak memikirkan kesan juga akibat daripada
perbuatan gelojoh itu. Hasil tindakan itu, ia sangat mengecewakan.
Mereka terpaksa menghadapi kesan jangka panjang yang sangat sukar untuk
dibaiki.
Di Malaysia ketika ini, pasca 60 hari
pemerintahan PH, selepas satu, satu perkara yang tidak disukai majoriti
rakyat berlaku hasil daripada kesilapan rakyat membuat pilihan dalam PRU
baru-baru ini. Bermula daripada mungkirnya janji mahu menunaikan
manifesto dalam 100 hari yang mereka sendiri sasarkan, rakyat sebaliknya
diminta agar menyerahkan harta mereka atas nama derma. Berselang dengan
berita kegagalan itu, mereka memperbesarkan berita rampasan harta bekas
PM yang sehingga sekarang masih belum ditangkap atau didakwa.
Juga kisah kesalahan mengira hutang
negara juga menyebabkan ramai pelabur menarik pelaburan mereka,
menyaksikan aksi Menteri Kewangan yang masih belum melepaskan pakaian
‘pembangkang’nya. Keluar lagi berita ECRL yang dahulunya dimomokkan
sebagai pembaziran mega, kini atas alasan terpaksa, mereka menambah pula
kos hampir RM 20 billion dan saham syarikat kontraktor ECRL dibeli oleh
kroni yang kemudiannya mendakwa sudah menjual saham-sahamnya (yang
sudah naik harga) kerana kononnya mahu membuktikan beliau bersih.
Harga petrol? Hapus tol? Ah, usah
diungkit, terasa amat kebodohannya. Mulut rakyat sekarang tidak boleh
lagi ditutup daripada membicarakan tentang idea penarikan balik
subsidi-subsidi yang telah diberikan dahulu kepada rakyat marhaen.
Nelayan yang diketahui majoriti mereka kais pagi makan pagi itu, tidak
akan merasa lagi elaun sara hidup. Grab tidak dibatalkan lesen mereka
walaupun telah berjanji dengan pemandu teksi dahulu.
Tidak puas dengan rakyat, badan-badan
kerajaan yang terlibat dengan agama seperti Jakim juga, menerima ugutan
secara langsung daripada beberapa kumpulan yang telah lama meyemai
dendam. Yang DiPertuan Agong dan Raja-raja Melayu juga tidak tersisih
daripada diugut dan dihina, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum
ini tanpa tindakan oleh pihak berkuasa.
Mata wang jatuh, ada wajah yang
tersenyum, ada pula yang berduka. GST enam peratus diganti SST 10
peratus. Demi untuk menunjukkan penurunan harga barang, Menteri sanggup
menipu, tiada bezanya dengan Menteri dahulu. Walaupun subsidi kepada
rakyat ditarik, siaran langsung Piala Dunia sebanyak RM 40 juta pula
dibayar.
Syiah sudah mengeluarkan kenyataan untuk
mahu mendapat perlindungan daripada kerajaan. Adakah ini bermakna nikah
Mutaah akan menjadi suatu budaya Malaysia di masa hadapan? Mereka
mendakwa jumlah mereka telah mencapai sejuta orang. Suatu keadaan yang
tidak pernah terfikir sebelum ini, Syiah menjadi berani mengaku diri
mereka Syiah di khalayak Malaysia. Ada lagi, dewan orang ramai telah
dijadikan pejabat parti memerintah, sama seperti parti kerajaan sebelum
ini. Dan terbaharu, tarif elektrik naik hari ini.
Di sebalik semua ini, saya terfikir,
adakah pada 9 Mei lalu, kotak-kotak atau peti-peti undi itu ialah kotak
Pandora secara simboliknya telah dibuka? Dan ketika ia dibuka, Malaysia
yang menyaksikan perubahan pemerintahan pada hari itu, malangnya berubah
menjadi lebih teruk daripada Kerajaan BN yang lalu. Pilihan buruk ini
berlaku hasil sebahagian daripada rakyat yang mengikut nafsu, sangat
membenci sehinggakan perkara bohong juga turut diambil sebagai panduan.
Akibatnya terlepaslah segala kejahatan dan keburukan daripada peti dan
kotak undi itu pada 9 Mei lalu.
Kini yang tinggal hanyalah “Harapan”
iaitu Islam bagi menyelamatkan keadaan Malaysia. Masih sempat lagi untuk
menyelamatkan negara dengan memberikan sokongan kepada jemaah yang
membawa obor Islam iaitu PAS. Telah terbukti sehingga kini, PAS di
kedua-dua Negeri Kelantan dan Terengganu telah melaksanakan sebahagian
daripada apa yang telah dijanjikan di dalam manifesto mereka. Walaupun
cuba diselewengkan fakta, namun bukti pelaksanaannya oleh PAS
menghapuskan segala fitnah itu.
Mungkin ramai yang sinis dengan
kenyataan ini, tetapi kebenaran adalah jelas dan nyata. PAS telah
disahkan sebagai sebuah parti yang mempunyai teras kebaikan oleh
cendekiawan-cendekiawan setelah berakhirnya PRU. Dengan yakin mereka
mengatakan pengundi-pengundi yang mengundi PAS adalah pengundi yang
sukakan kebaikan. Ia tiada di dalam parti lain. PAS berada dalam
kelasnya yang tersendiri. PAS adalah harapan kepada semua.
*MOHD NASIR ABDULLAH.Al-Khor, Qatar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan