HALAMAN SANTAI

Isnin, 2 Julai 2018

Mohamad: Jangan harap nakhoda kapal saja

 
   

Timbalan presiden Umno yang baharu Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kapal Umno kini yang dilanda ombak perlu dikemudi semua kru dan tidak mengharapkan kepada nakhoda kapal (presiden) semata-mata untuk digerakkan ke mana-mana destinasi.

“Dalam keadaan kapal dilanda ombak sekarang semua orang perlu bersama-sama, bukan nakhoda sahaja yang perlu mengemudikan kapal tetapi semua orang kena mainkan peranan.

“Kami perlu buat post mortem agar setiap anggota punyai peranan masing-masing yang perlu dilaksanakan.

"Biarlah presiden yang jelajah seluruh negara satu padukan balik ahli, naikkan semangat dan pastikan supaya tidak ada perpecahan. Saya pula akan menjalankan tugas sebagai ketua pegawai operasi Umno," katanya di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media pertamanya bersama Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dipilih sebagai ketua parti itu bagi penggal 2018-2021 selepas memenangi jawatan itu dalam pemilihan Umno yang berlangsung semalam.

Mohamad yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan mendapat 110 undi menewaskan Ketua Penerangan Umno merangkap Anggota Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa yang mendapat 47 undi.

Justeru, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tok Mat itu berkata beliau akan memberi tumpuan kepada bahagian pengurusan dan pentadbiran bagi memulihkan kembali parti itu yang tewas pada pilihan raya umum ke-14 Mei lalu.- Bernama


Tiada ulasan: