ULASAN | Umno terpanggil untuk menjawab ulasan 'hambar' Lim Kit Siang yang mengatakan kononnya keputusan pemilihan Umno kali ini mencerminkan kemenangan calon-calon 'strategis Najib Razak'.
Beliau sebagai antara politikus paling lama dan paling matang di Malaysia, nampaknya bukanlah seorang penganalisis politik yang bijak.
Kit Siang sebaliknya melontarkan hujahan longgarnya tanpa membuat kajian mengenai sesuatu isu. Ini memperlihatkan kedunguan beliau di dalam hal ini.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menang jawatan presiden tanpa undi bahagian Pekan pimpinan Najib, sedangkan semua tahu bahawa Najib sendiri menyerahkan tugas pemangku presiden kepada Zahid setelah meletak jawatan.
Kit Siang dan rakan--rakan penasihat politiknya perlu diberitahu bahawa undi Pekan bagi calon Presiden diberikan kepada Tengku Razaleigh Hamzah, dan bukannya Zahid.
Kit Siang juga perlu maklum bahawa wujudnya pencalonan yang begitu ramai pada pemilihan kali ini ialah simbol pulihnya demokrasi penuh dalam Umno selepas 20 tahun.
Bukan semua calon yang memenangi kerusi naib presiden dan Majlis Tertinggi adalah 'pro-Zahid atau pro-Najib'. Malah tidak wujud langsung kem-kem individu seperti yang difikirkan oleh Kit Siang.
Jadi, apa pegangan terhadap analisis Kit Siang sebenarnya? Kenapa pula beliau menunjukkan kerisauan dengan kebangkitan Umno?
Umno kini boleh mendabik dada kerana amalan demokrasi yang 'dibunuh' oleh pemimpinnya yang terdahulu sejak 1988 kini dihidupkan kembali.
Berbanding DAP yang melaung-laungkan slogan 'demokratiknya', beliau seharusnya memperhalusi 'cengkaman ala diktatornya' di dalam parti yang sudah terlalu banyak mengelirukan rakyat itu. Orang yang sama memegang jawatan dalam DAP untuk sekian kalinya.
Sayang, pemimpin yang mendabik dada dengan demokrasinya ini cuma nampak kuman di seberang laut, sedangkan gajah di depan mata diabaikan!
Janganlah pada usia begini, kita dilabel sebagai 'tak sekolah' dan 'nyanyuk'.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan