Wali seharusnya menjadi pelindung dan tidak memangsakan anaknya dengan menikahkannya tanpa rela atas faktor kemiskinan.
Demikian jelas Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin merujuk kes berkaitan perkahwinan kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun di Kelantan.
“Wali yang menikahkan anak kerana kemiskinan yang mana dia mahu peroleh keuntungan tertentu, tidak layak menjadi wali. Wali itu bermaksud pelindung. Dia sudah tidak menjadi pelindung. Bahkan dia sudah menjadi pemangsa,” kata Asri dalam kenyataannya, hari ini.
Asri berkata terdapat dalil yang mensyaratkan kerelaan wanita dalam perkahwinan termasuk melihat dalam konteks yang lebih besar iaitu anak perempuan dibawah umur tidak memahami realiti yang dipersetujui, tidak boleh dianggap rela.
“Jelas dalil-dalil mensyaratkan kerelaan wanita dalam perkahwinan. Kerelaan itu hendaklah dilihat dalam konteks yang sebenar pada tempat dan waktunya. Anak perempuan yang bawah umur, yang tidak memahami realiti apa yang dia persetujui, tidak boleh dianggap rela.
Anak perempuan perlukan pendidikan
“Realiti dan cabaran kehidupan zaman ini dan dahulu juga tidak sama. Untuk hidup di zaman moden, di negara kita, anak perempuan perlukan pendidikan dan pelajaran yang secukupnya. Jika dia masih lagi di sekolah rendah, bagaimanakah dia akan meneruskan dunia pelajarannya jika dia berkahwin di peringkat itu,” katanya.
Kisah perkahwinan budak perempuan berusia 11 tahun dengan seorang lelaki 41 tahun itu tular sejak Jumaat dan mengundang reaksi pelbagai pihak.
Berikutan penularan berita itu, pengguna laman sosial daripada pelbagai lapisan masyarakat mengkritik tindakan lelaki berkenaan dan berpendapat ia tidak sepatutnya berlaku.
Siasatan awal Jabatan Kebajikan Masyarakat Kelantan mendapati perkahwinan itu dijalankan di Golok, Thailand dan ibu bapa kanak-kanak terbabit juga merupakan warganegara Thailand.
Ibu bapa restui pernikahan
Hari ini, ibu bapa kepada kanak-kanak tersebut berkata pihaknya merestui pernikahan anak mereka walaupun sebagai isteri ketiga.
Bapanya Mat Rashid Rimadsa, 49, warganegara Thailand, berkata beliau amat mengenali lelaki Malaysia itu, yang tinggal di Kampung Lalang, Kuala Betis, Gua Musang kerana selalu menjual getah tongkol (sekerap) kepadanya.
Mat Rashid dan keluarganya, yang kesemuanya rakyat Thailand, tinggal di Gua Musang dengan mengambil upah sebagai penoreh getah.
Beliau berkata menantunya, yang merupakan pembeli getah sekerap di kampung itu, datang memohon kebenaran untuk bernikah dengan anak perempuannya seminggu sebelum Aidilfitri lepas.
Hari ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata perkahwinan tersebut adalah tidak sah dari segi undang-undang.
Beliau berkata hal itu kerana perkahwinan tersebut tidak mendapat kelulusan mahkamah untuk bapa kanak-kanak itu mewalikan anaknya dan menjadi isteri kepada orang yang lebih tua, selain kerana budak itu masih di bawah umur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan