Ketua Umno Bahagian Temerloh, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, istilah tidak mahu berubah tidak wujud walaupun kesemua calon yang bertanding jawatan tertinggi adalah pemimpin Umno lama dan berpengalaman serta pernah memegang jawatan dalam kabinet.
Menurutnya, situasi tersebut sudah pasti memerlukan semua pihak perlu memberikan masa dan peluang kepada Ahmad Zahid untuk bekerja dan melakukan perubahan dalam usaha kebangkitan semula parti itu.
“Saya harap kita jangan cepat menghukum kerana beliau (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) tak pernah memegang jawatan nombor satu, jadi berikan peluang dan masa kepada beliau untuk membuat perubahan.
“Tidak timbul isu orang lama kerana Tengku Razaleigh dan Khairy Jamaluddin pun sama kerana pernah berada dalam kabinet sebelum ini dan kita kena hormati keputusan pilihan ahli-ahli Umno,” katanya semalam.
Ini berikutan penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff menyatakan bahawa kemenangan Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden Umno menandakan parti itu tidak mahu berubah kerana masih mengekalkan orang lama.
Jelas Mohd Sharkar lagi, semua pihak perlu bersikap adil dan tidak membuat tuduhan dan andaian negatif terhadap kepimpinan baharu Umno.
“Kita pun tidak menyerang Pakatan Harapan (Harapan) dalam menunaikan janji mereka kerana kita memberikan mereka masa dan peluang menunaikan janji mereka dalam tempoh 100 hari seperti dijanjikan mereka sebelum ini,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai barisan kepimpinan Umno pada masa ini beliau menyifatkan ia mempunyai kombinasi kepakaran yang terbaik untuk membangkitkan semula parti itu.
Ujarnya, dengan pengalaman politik Ahmad Zahid selaku presiden parti dan juga pengalaman Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan bidang korporat dapat memberikan sumbangan signifikan kepada parti.
“Kita bukan lagi parti pemerintah dan pengalaman Ahmad Zahid dalam politik yang bermula dari bawah amat penting.
“Begitu juga pengalaman Mohamad dalam korporat penting untuk menyusun semula aset Umno yang ada dan sebagainya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan