Diyana Ibrahim, Astro Awani
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan melantik syarikat insurans swasta bagi menguruskan Skim Perlindungan Kesihatan Nasional bagi kategori golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) yang dijangka akan dilaksanakan pada tahun depan, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata skim tersebut yang bertujuan membantu rakyat berpendapatan rendah akan diuruskan sepenuhnya oleh kementeriannya dan akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut kemampuan kewangan kerajaan.
"Kerajaan sudah pun hampir bersedia untuk melaksanakan Skim Perlindungan Kesihatan Nasional untuk golongan B40, dan skim ini bukan berbentuk insurans. Saya jelaskan sebab ada banyak salah faham sebelum ini.
"Ia akan dibiayai oleh kerajaan untuk golongan miskin dan akan dilaksanakan oleh agensi di bawah Kementerian Kesihatan sepenuhnya.
“Skim seumpama Skim Peduli Sihat ini akan dilaksanakan secara berfasa dan dijangka akan dilancarkan sebagai projek perintis pada tahun 2019," katanya dalam Sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan daripada Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) meminta menteri itu menjelaskan mengenai status pelaksanaan insurans kesihatan untuk golongan B40.
Menteri itu juga menjamin pelaksanaan skim tersebut tidak akan menjejaskan perkhidmatan kesihatan sedia ada Kementerian Kesihatan di klinik dan hospital kerajaan.
Katanya caj sedia ada di klinik dan hospital kerajaan iaitu sebanyak RM1 bagi rawatan pesakit luar dan RM5 untuk konsultansi pakar turut dikekalkan walau dengan pelaksanaan skim tersebut.
Jelas beliau pelaksanaan skim tersebut adalah selari dengan manifesto kerajaan Pakatan Harapan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan