HALAMAN SANTAI

Khamis, 15 November 2018

Tangani aduan pemilihan, bukan serang peribadi, kata Akmal

MALAYSIAKINI

   

PEMILIHAN PKR | Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR (JPP) perlu menangani aduan dikemukakan Rafizi Ramli berhubung pemilihan cabang Julau dan bukan terlibat dalam serangan peribadi, kata calon ketua Pemuda PKR, Akmal Nasir.

Akmal berkata demikian ketika mengulas kenyataan Pengerusi JPP Rashid Din, yang memberitahu Free Malaysia Today semalam bahawa tidak akan ada pemilihan semula cabang PKR Julau.

"Di sebalik menjawab persoalan Rafizi dan mempertimbangkan pemilihan semula untuk Julau, dia menyerang Rafizi secara peribadi," kata Akmal yang dianggap sebagai orang kanan Rafizi.

Rafizi sebelum ini mendakwa komputer tablet yang digunakan bagi sistem e-undi diganggu serangan siber dan oleh itu menuntut pemilihan baru diadakan.

Rashid, yang pada awalnya meminta keputusan bagi pemilihan cabang Julau digantung, mendakwa tiada data atau undi yang hilang.

Beliau juga berkata Rafizi gagal memobilisasi para penyokongnya untuk keluar mengundi dan pemilihan pada petang 10 Nov berlangsung dengan suram.

"Sekurang-kurangnya biarkan proses itu selesai sebelum kamu menunjukkan siapa diri kamu. Dia harus tetap profesional sehingga prosesnya selesai,"kata Akmal.

Beliau berkata Rafizi meragui pemilihan di Julai dan Rashid sepatutnya menunjukkan bukti bagi menagkis dakwaan tersebut.

Pemilihan PKR bermula pada 22 September dan diadakan setiap hujung minggu hingga 11 November. Pemilihan tersebut dicemari keganasan, tuduhan membeli undi dan sistem e-voting diganggu serangan siber.

Bagaimanapun biro politik PKR mengesahkan menerima keputusan JPP bagi cabang di Julau dan dua cabang lain di Sabah.

Barisan kepimpinan baru parti itu - yang dijangka didominasi mereka yang bersekutu dengan Azmin Ali - dijangka akan diumumkan semasa kongres nasional parti itu pada hujung minggu ini.


Tiada ulasan: