Kerajaan akan memperkenalkan semula sistem lama yang merangkumi prosedur manual, fail meja dan carta aliran tugas kepada penjawat awam bagi menangani isu karenah birokrasi, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.
Beliau berkata ia membolehkan seseorang penjawat awam tahu apa yang perlu dibuat apabila terdapat permintaan untuk melaksanakan sesuatu prosedur kerja tanpa melalui proses birokrasi yang rumit.
Katanya beliau telah berbincang dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Datuk Seri Ismail Bakar untuk memperkenalkan balik sistem lama itu.
“Kalau tidak tahu buat tugas, perlu tanya kepada orang lain, dan ini akan melambatkan proses. Kalau ada carta aliran tugas, penjawat awam boleh laksanakan tugas dan serahkan tugas selanjutnya kepada orang lain.
"Apabila sampai ke pegawai tertinggi, perkara itu akan disemak sama ada dilakukan dengan betul sebelum meluluskan permintaan, dan ini boleh meningkatkan perkhidmatan birokasi," katanya dalam sesi soal jawab selepas melancarkan Perhimpunan Perdana Bersama Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di Universiti Putra Malaysia di Serdang hari ini.
Mengakui kewujudan karenah birokrasi dalam perkhidmatan awam, Dr Mahathir berkata tanpa birokrasi, kerja juga tidak dapat dilakukan namun yang menjadi masalah apabila terlalu banyak proses yang terlibat untuk membuat sesuatu perkara.
"Satu orang mahu mendirikan pelancongan di Langkawi. Dia terpaksa meminta permit daripada dekat 20 jabatan. Jadi lambatlah, kadangkala pegawai pun tidak begitu cekap atau tidak tahu apa tanggungjawabnya," jelasnya.
Pada masa yang sama, Dr Mahathir berkata orang ramai juga perlu tahu prosedur untuk mendapatkan kelulusan sesuatu permohonan.
"Ada kala, mereka (orang awam) hanya mendapatkan kelulusan daripada satu jabatan tetapi mereka tidak tahu mereka perlu mendapat kebenaran tiga atau empat jabatan yang lain,” katanya.
Perdana Menteri berkata pihak KSN sedang berusaha untuk membekalkan buku prosedur kepada orang awam, berhubung apa yang perlu dilakukan apabila mereka ingin membuat sesuatu.
"Contohnya, kalau mahu membuka hotel, ada beberapa perkara yang perlu dibuat sebelum mendapatkan lesen membuat hotel. Mereka akan diberitahu di dalam buku, perkara inilah kamu kena buat dan jabatan perlu pergi. Maka itu, (apabila) dapat kerajaan lakukan, saya fikir karenah birokrasi ini akan berkurangan.
"Kadangkala karenah (birokrasi) itu ada juga kerana ada kelemahan di antara kita. Kalau kita mahu supaya dilayan dengan baik, kita juga akan meminta daripada kerajaan. Dan kalau kita melambatkan kerja, itu adalah cara rasuah. Kalau lambat, ada orang bagi upah untuk mempercepatkan tugas itu," katanya.
Menjawab soalan berhubung kos sara hidup yang meningkat, Dr Mahathir berkata kerajaan sedang berusaha untuk mengawal kenaikan harga barang memandangkan kos sara hidup meningkat walaupun Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) telah dihapuskan.
"Dalam perniagaan, kos orang tengah amat tinggi. Contohnya, sayur yang ditanam di Cameron Highlands berharga kira-kira 50 sen satu kilogram, tetapi apabila sampai ke pasar, ia dijual pada harga RM7 sekilogram. Takkan perjalanan dari tempat ditanam ke pasar begitu mahal," katanya.
Sehubungan itu, Dr Mahathir berkata beliau telah meminta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub untuk menyiasat kenaikan harga sayur begitu tinggi.
"Ramai orang berpendapat, apabila pendapatan gaji dinaikkan, mereka dapat membeli dengan lebih banyak. Apabila kita menaikkan gaji minimum, pihak swasta juga akan menaikkan gaji mereka dan menyebabkan barangan keluaran mereka juga naik harga.
"Dan apabila kos keluaran dan perkhidmatan meningkat, barangan akan dijual dengan harga tinggi, maka kos sara hidup juga meningkat," katanya.
Kepada soalan sama ada peningkatan kos sara hidup adalah disebabkan oleh dimonopoli satu pihak, Dr Mahathir berkata kerajaan akan menghapuskan sistem monopoli dan pada masa yang sama, memantau harga barangan agar kos sara hidup tidak meningkat secara mendadak.
"Kita mahu hapuskan monopoli tetapi perlu berhati-hati jika berlaku persaingan yang hebat, akan membawa masalah bekalan tidak mencukupi. Kerajaan akan mengawasi perkara ini dan rakyat perlu memberitahu harga-harga yang dikenakan agar dapat mengawal harga barangan tidak meningkat keterlaluan," katanya.
Dr Mahathir, ketika ditanya sama ada kerajaan akan membentuk satu sistem untuk kebaikan penjawat awam, berkata Malaysia ingin menjadi negara maju dan untuk mencapai hasrat itu, kerajaan perlu melatih generasi muda mempunyai kecekapan bekerja dan mencari pelabur untuk mewujudkan peluang pekerjaan.
Katanya Malaysia mengimport barang makanan setiap tahun sebanyak RM60 bilion, di mana semua itu boleh ditanam di Malaysia untuk mengurangkan pengaliran wang ke negara asing.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan