Rakyat, anggota kerajaan perlu 'ikat perut' untuk bayar hutang negara
SERDANG
– Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yakin masalah pentadbiran serta
kewangan negara yang ditinggalkan kerajaan terdahulu akan dapat dipulihkan
dalam tempoh tiga tahun.
Beliau berkata, ini kerana kerajaan
Pakatan Harapan (PH) telah menyusun pelbagai perancangan yang diyakini boleh
mengatasi kedua-dua isu tersebut, justeru penjawat awam harus bersabar serta
bekerjasama dengan kerajaan semasa untuk memulihkan semula keadaan negara.
“Insya-Allah, kalau keadaan dalam
negara ini aman, tidak ada tindakan yang liar, kita yakin dalam masa tiga tahun
kita akan dapat pulihkan semula negara,” katanya pada Majlis Perhimpunan
Perdana Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS)
bersama Perdana Menteri, di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata, bagaimanapun
usaha memulihkan negara tidak boleh dilakukan melalui kuasa politik semata-mata
sebaliknya turut menuntut kerjasama sektor awam bagi membantu PH yang mengambil
alih pentadbiran negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14.
“Amat penting untuk tuan-tuan dan
puan-puan faham sejarah kita dan tahu apa sedang dilakukan oleh negara yang
baharu ini oleh pemerintah baharu ini, supaya dapat menghulurkan kerjasama yang
erat kepada kerajaan demi kepentingan negara, supaya negara kita akan sekali
lagi berada di jalan ke arah negara maju pada 2025,” katanya.
Dr Mahathir berkata, kerjasama yang
diperlukan daripada penjawat awam termasuk memahami masalah yang dihadapi
negara khususnya berhubung bebanan hutang melebihi RM1 trilion yang meletakkan
kewangan negara dalam keadaan sukar.
“Sebab itu kita terpaksa batal
rancangan-rancangan yang besar yang telah dilakukan, dijadualkan dan
dilaksanakan oleh kerajaan lama. Kita harus kurangkan perbelanjaan untuk
projek-projek yang besar ini namun demikian kalau kita hentikan kontrak yang
lama kita juga perlu membayar pampasan,” katanya.
Menurutnya, sebahagian pendapatan
negara kini terpaksa digunakan untuk membayar hutang negara, menyebabkan
perhatian kerajaan terhadap soal pembangunan negara berkurangan.
“Saya harap kita boleh bersabar,
kalau kita bekerjasama dalam keadaan aman dan tenteram maka kita dapat pulihkan
kewangan negara kita dan pembangunan negara kita.
“Untuk menghapuskan hutang RM1
trilion bukanlah mudah, seluruh rakyat termasuk anggota kerajaan perlu ikat
perut sedikit supaya kita dapat kurangkan perbelanjaan biasa dan membayar
hutang,” katanya.
“Insya-Allah, kita akan dapat
jelaskan hutang-hutang kita dan selepas jelaskan hutang-hutang ini maka
pendapatan kerajaan akan meningkat dan boleh digunakan untuk bantu sara hidup
rakyat khususnya mereka yang bekerja dengan kerajaan,” katanya lagi.
Dr Mahathir juga berkata pendapatan
yang tinggi tidak akan bermakna jika harga barangan meningkat melebihi kenaikan
gaji.
“Bagi kita yang lebih utama ialah
memberi gaji yang boleh membeli lebih (banyak) daripada dahulu…. sebab itu
kerajaan sekarang sedang mengolah cara-cara kewangan negara,” katanya.
Perdana Menteri berkata, beliau yakin
penjawat awam akan bersama-sama kerajaan membantu memulihkan negara khususnya
dari segi kewangan.
“Kita percaya untuk mengurangkan kos
sara hidup dan meningkatkan kuasa beli kita perlu meningkatkan kecekapan dan
disiplin dalam kalangan anggota kerajaan pemerintahan sekarang ini,” katanya.-
Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan