HALAMAN SANTAI

Ahad, 24 Mac 2019

Berkat berguru dengan bekas qari, qariah

Mohd Husni Mohd Noor
 
 

JOHAN qariah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1440, Nor Farhatul Fairuzah Panut, 19, mengakui kejayaan diperolehnya berkat berguru dengan bekas qari dan qariah serta guru taranum.

Dia yang ditemui di kediaman keluarganya di Kampung Hulu Chuchoh, Sungai Pelek, Sepang, hari ini, berkata, dia kerap dibawa ibu, Jaliah Simin, 63, menziarahi dan bertemu dengan bekas qari dan qariah bagi mempelajari teknik bacaan dan taranum.

Malah, katanya, dia dan ibu sering ke Kelantan dan Pahang untuk bertemu guru taranum di negeri berkenaan yang kebetulan kenalan ibunya.

“Saya banyak belajar dari situ selain turut dibimbing Ustaz Datuk Faizul Ghazali sejak sekolah rendah lagi," katanya yang kini menuntut di Tingkatan Enam Atas, Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Labu, Negeri Sembilan.

Katanya, selain minat mendalam dalam taranum, dia juga banyak menerima sokongan dan dorongan daripada kakak dan abangnya selain ibu dan arwah bapanya, Panut Markom.

Nor Farhatul berkata, kakak dan abangnya iaitu Nor Faridatul Husna, 40, Fakhrur Razi, 37, Nor Faizah, 30 dan Nor Fathiyah, 26, pernah menyertai Majlis Tilawah Peringkat negeri dan kebangsaan.

“Malah, kakak saya, Nor Faizah memenangi naib johan qariah dalam pertandingan semalam.

"Selain itu, ibu dan ayah juga pernah menyertai majlis tilawah peringkat kebangsaan sekitar 2004," katanya yang juga anak bongsu daripada lima beradik.

Katanya, dia berbangga dilahirkan dalam keluarga yang minat taranum malah, akui tidak lengkap hidupnya seharian jika tidak bertaranum.

Menurutnya, dia mula menyertai pertandingan tilawah seawal Tahun Satu selepas dipaksa ibu sebelum timbul minat untuk terus menyertai pertandingan tilawah yang dianjurkan di peringkat sekolah.

Ditanya mengenai persiapannya menjelang majlis tilawah peringkat antarabangsa yang dijadualkan berlangsung dua minggu lagi, Nor Farhatul berkata, dia berharap dapat buat yang terbaik selain mengutip pengalaman kerana ia adalah penyertaan pertamanya.

Nor Farhatul berkata, dia tidak meletakkan sebarang sasaran namun, akan memberi yang terbaik demi negara selain membanggakan ahli keluarganya.

“Saya tidak mengharap kemenangan namun, sentiasa berdoa agar diberi ketenangan sekali gus dapat memperdengarkan bacaan dengan baik," katanya.

Ditanya apa rahsia untuk berjaya dalam bidang taranum, Nor Farhatul berkata, dia akui banyak melakukan latihan bacaan selain mengutip segala ilmu taranum daripada bekas qari dan qariah.

"Bagi menjaga suara pula, saya akui tidak suka makan pedas dan tidak minum minuman berais," katanya yang memasang impian untuk menyambung pengajian di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.

Nor Farhatul juga mempunyai akaun Instagram, @farhatulfairuzah yang mana dia turut berkongsi bacaan al-Quran menerusi platform media sosial berkenaan.

Akaun Instagram Nor Farhatul kini mempunyai lebih 30,000 pengikut.

Sementara itu, Jaliah berkata, dia berbangga dengan pencapaian diraih Nor Farhatul kerana akhirnya ada wakil dalam keluarga yang berjaya menjadi johan dalam majlis tilawah peringkat kebangsaan.

"Saya berharap dia dapat buat yang terbaik," katanya.

Tiada ulasan: