HALAMAN SANTAI

Isnin, 25 Mac 2019

Bekalan air Selangor cukup

Norzamira Che Noh
 
 

BEKALAN air di semua empangan dan kolam takungan di Selangor mencukupi untuk menghadapi musim kemarau yang dijangka berlarutan sehingga bulan depan.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, bekalan air itu masih pada kadar 80 peratus dan dijangka cukup untuk menampung permintaan selama tiga bulan.

“Seperti yang diumumkan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar, negeri ini tidak berdepan risiko catuan seperti beberapa negeri lain.

“Secara keseluruhannya, takungan di semua tujuh empangan negeri dalam keadaan baik dan mampu menampung keperluan Loji Pembersihan Air (LPA) dan permintaan semasa 4,800 juta liter sehari (JLH).

“Pelaksanaan Operasi Pengepaman Air Kolam (OPAK) dan Off-River Storage (ORS) juga membantu mengekalkan kapasiti air yang diperlukan jika berlaku kemarau panjang dalam tempoh sebulan dua ini,” katanya selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak di Shah Alam, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya; Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim dan Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Datuk Hashim Osman.

Kata Amirudin berkata, Operasi Pembenihan Awan (OPA) akan dilakukan di kawasan tadahan dan lembangan sungai apabila kapasiti empangan menurun di bawah 60 peratus.

Pada majlis itu, satu sistem yang dapat mengukur secara tepat kedudukan air di empangan iaitu LUAS Intelligent Support System (LiSS) turut dilancarkan secara rasmi.

Hashim berkata, LiSS dapat mengawal pelepasan air dari empangan dan pihaknya akan terus memaklumkan kepada Air Selangor sekiranya air yang dilepaskan melebihi had.

“Pelepasan air di empangan dilakukan mengikut keperluan. Justeru, tahun lalu kita dapat mengawal air pada sekitar 95 ke 100 peratus,” katanya.

Tiada ulasan: