41 negara larang sepenuhnya jual, import peranti rokok elektronik

MUKADIMAH
SEJAK
beberapa tahun lalu, rokok elektronik atau vape telah memasuki pasaran dan
menjadi sangat popular dalam kalangan masyarakat di negara ini. Ada pihak yang
mendakwa bahawa vape adalah alternatif selamat untuk menggantikan rokok
tembakau. Namun adakah benar dakwaan itu?
Benarkah
vape mampu menjadi menjadi alternatif kepada perokok dan penggunaannya lebih
selamat daripada rokok tembakau? Ikuti wawancara khas Ismaweb.net bersama Ketua
Unit Kawalan Rokok dan Vape I-Medik, Dr Ahmad Farid Nazmi Abdul Halim.
Ismaweb.net: Apa itu rokok elektronik atau vape, serta bezanya
dengan rokok konvensional?
Dr Ahmad Farid:
Rokok
elektronik adalah alat yang menggunakan kuasa elektronik untuk menyalurkan
aerosol atau wap hasil dari pemanasan satu cecair, untuk dihisap oleh
pengguna.
Berdasarkan
akta, rokok elektronik didefinasikan sebagai peranti yang digunakan untuk
memanaskan hasil tembakau atau bahan-bahan lain secara elektronik untuk tujuan
merokok. Tiga komponen rokok elektronik adalah bateri, atomiser dan kartrij.
Kandungan utama cecair rokok elektronik adalah nikotin, propilin glikol,
gliserin sayuran serta bahan perasa dan pewarna.
Ismaweb.net: Benarkah vape menjadi alternatif untuk perokok
berhenti rokok? Adakah ada kajian bahawa ianya menjadi alternatif pemulihan
kepada ketagihan rokok?
Dr Ahmad Farid: Menurut kajian oleh Bullen C et al, 2013 berkenaan perbandingan
di antara penggunaan rokok elektronik, Nicotine Replacement Therapy (NRT) dan
placebo mendapati tiada perbezaan signifikan di dalam kejayaan untuk berhenti
tabiat merokok, malah terdedah kepada kesan sampingannya.
Malah,
kandungan nikotin dalam rokok elektronik akan terus menyebabkan ketagihan dan
kebergantungan yang sangat tinggi dan kebanyakannya akhirnya menjadi ‘dual
user’ berdasarkan kajian oleh WK Al-Delaimy et al, 2015. Kenyataan yang
diwar-warkan oleh pihak industri rokok elektronik di mana paras nikotin yang
selamat dalam rokok elektronik boleh diperkenalkan oleh kerajaan adalah salah.
Laporan
oleh Public Health England (PHE) yang menyatakan rokok elektronik adalah 95
peratus lebih selamat berbanding rokok tembakau telah dikritik hebat kerana
ianya berdasarkan beberapa kajian dan mempunyai pelbagai kelemahan serta
penglibatan penajaan oleh syarikat tembakau.
Falsafah
utama merawat ketagihan merokok adalah perokok itu sendiri perlu berhenti
menghisap rokok. Bagi individu yang berhasrat untuk berhenti merokok dan mahu
mendapatkan rawatan ketagihan merokok, mereka boleh mengunjungi Klinik Berhenti
Merokok yang dikendalikan di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia atau pun
boleh menyertai program mQuit, iaitu perkhidmatan berhenti merokok secara
bersepadu di kemudahan awam dan juga swasta. Maklumat lanjut boleh dilayari di
laman sesawang http://jomquit.moh.gov.my
Selain
itu juga, vape meningkatkan risiko bukan perokok menjadi perokok. Ia merupakan
‘gateway’ untuk golongan kanak-kanak dan remaja memulakan tabiat merokok
menurut kajian oleh Primack et al, 2015 dan Leventhal et al, 2015.
Ismaweb.net: Oktober lalu, Menteri Kesihatan mendedahkan kira-kira
300,000 pelajar sekolah seluruh negara terjebak dengan penggunaan vape di mana
50,000 daripada mereka adalah pelajar perempuan. Adakah perkara ini berpunca
daripada kurangnya penguatkuasaan, dan promosi penjualan yang dibuat secara
terbuka?
Dr Ahmad Farid: Situasi semasa penggunaan rokok elektronik dalam kalangan
kanak-kanak dan pelajar sekolah adalah amat membimbangkan. Kajian Tobacco and
E-cigarette Survey Among Adolescent (TECMA) pada 2016 mendapati 300,000 orang
remaja bersekolah merupakan pengguna semasa rokok elektronik dan vape, di mana
majoriti adalah dalam kalangan remaja lelaki iaitu 250,000 orang, berbanding
remaja perempuan iaitu 50,000 orang.
Seramai
700,000 orang remaja bersekolah pernah mencuba rokok elektronik dan vape
walaupun sekali. Pakar penyelidik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia turut
menjalankan kajian tabiat penggunaan rokok elektronik dalam kalangan 422
pelajar dari tiga sekolah menengah di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
pada awal tahun ini, di mana penemuan mendapati peratusan menggunakan vape
adalah lebih tinggi iaitu sebanyak 42.2 peratus berbanding mereka yang merokok
rokok konvensional iaitu hanya 27.0 peratus.
Sejak
tahun 2015, I-Medik bersama pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah
bergiat aktif dalam isu menangani penggunaan vape dan diantaranya adalah
mendesak kerajaan terutamanya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal
Ehwal Pengguna agar mengharamkan penjualan vape.
Bagaimanapun,
tiada langkah tegas diambil oleh pihak kerajaan ketika itu dan membenarkan
penjualan, malah kini ia mudah didapati di pasaran serta media sosial oleh
pelbagai peringkat umur termasuklah golongan pelajar sekolah.
Ismaweb.net: Jika sejak remaja sudah didedahkan dengan penggunaan
vape, apakah kesan jangka panjang bagi kesihatan individu yang ketagihan rokok
elektronik?
Dr Ahmad Farid: Penggunaan rokok elektronik yang pada asalnya dicipta untuk
menyediakan alternatif yang lebih selamat telah terbukti memudaratkan
kesihatan. Penemuan World Health Organization (WHO) mendapati kandungan
karsinogen adalah lebih tinggi dalam rokok elektronik berbanding rokok
konvesional.
Menurut
kajian oleh Yuen et al, 2015, pendedahan otak kepada nikotin semasa remaja amat
berbahaya kerana zaman remaja adalah peringkat kritikal perkembangan otak dan
berisiko untuk mencuba bahan-bahan terlarang yang menjurus kepada
penyalahgunaan dadah. Selain itu, nikotin boleh menggalakkan pembekuan darah
dan risiko strok menurut kajian oleh Schaller et al, 2013.
Nikotin
juga boleh menyerap masuk ke plasenta ibu mengandung di mana ia akan mengganggu
proses perkembangan bayi di dalam kandungan berdasarkan kajian oleh Maritz,
2009 dan boleh membawa kepada kelahiran pramatang, keguguran, kecacatan dan
Sudden Infant Death Syndrome (SIDS).
Melalui
beberapa analisis sampel cecair rokok elektronik secara rawak oleh Makmal
Toksikologi Pusat Racun Negara, terdapat kandungan cecair rokok elektronik yang
mengandungi nikotin sehingga 4mg dalan 1ml cecair. Ini bermakna setiap botol
yang mengandungi 25ml cecair rokok elektronik akan mengandungi sehingga 100mg
nikotin.
Nikotin
serendah 2mg sudah boleh menyebabkan gangguan pada perut dan usus. Dos yang
lebih tinggi boleh menyebabkan kesan yang lebih teruk, di antaranya adalah
sawan dan kegagalan pernafasan. Nikotin boleh menyebabkan kematian mengejut
pada dos sekurang-kurangnya 4 mg bagi kanak-kanak 40mg dalam kalangan orang
dewasa.
Formaldehid
ialah sejenis bahanyang boleh menyebabkan kanser. Laporan oleh New England
Journal of Medicine pada 22 Januari 2015 turut menyatakan bahawa rokok
elektronik mengandungi formaldehid yang boleh menyebabkan kanser 15 kali lebih
tinggi berbanding rokok konvensional.
Pelbagai
jenis bahan perisa (flavours) digunakan di di dalam cecair rokok elektronik
yang terdapat di pasaran. Kebanyakan pengguna beranggapan perisa yang digunakan
adalah tidak memudaratkan.
Kajian
in-vitro yang dijalankan oleh Bahl et al, 2012 mendapati cecair rokok
elektronik ini mampu membunuh sel iaitu sel paru-paru, otak dan lapisan kulit.
Kajan ini mengira paras yang mampu membunuh sel-sel ini yang di kenali sebagai
sitotoksisiti (cytotoxicity). Cecair rokok elektronik yang mengandungi pelbagai
bahan perisa telah menunjukkan paras sitotoksisiti yang tinggi.
Individu-individu
yang berada di sekeliling boleh turut sama ‘menghisap’ bahan kimia yang ada di
udara persekitaran hasil hembusan wap daripada rokok elektronik. Oleh demikian,
prinsip passive smoker juga terpakai.
Ismaweb.net: Sebagai pengamal perubatan, apakah saranan Dr kepada
pihak kerajaan bagi menangani isu ini. Adakah penguatkuasaannya perlu lebih
tegas daripada rokok?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan