HALAMAN SANTAI

Isnin, 6 April 2020

Covid-19: Hanya satu korban terbaharu, 236 pulih hari ini

Shawaliah Hadir
MGF04042020_Sidang-Media-KP-KKM_07
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.


PUTRAJAYA – Hanya satu korban baru Covid-19 dicatatkan hari ini dan ia angka terendah direkodkan seterusnya menjadikan keseluruhan mangsa yang meninggal dunia sehingga kini adalah sebanyak 62 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 131 kes jangkitan baharu dilaporkan hari ini berbanding 179 semalam menjadikan jumlah mangsa 3,793 orang sehingga kini.

“Kes kematian ke-62 merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 67 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi. Beliau mempunyai sejarah kontak rapat dengan beberapa kes indeks positif Covid-19 daripada perhimpunan tabligh di Sri Petaling.

“Beliau telah dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Terengganu pada 29 Mac dan disahkan meninggal semalam pukul 10. 22 pagi,” katanya ketika sidang media harian Covid-19 hari ini.

Beliau selain itu juga memaklumkan, seramai 236 mangsa jangkitan Covid-19 telah pulih serta dibenarkan keluar wad hari ini.

Angka itu jelasnya, merupakan yang tertinggi menjadikan bilangan pesakit yang sembuh secara keseluruhan kini seramai 1,241 orang.

Bagaimanapun seramai 102 pesakit Covid-19 masih dirawat di unit rawatan rapi di hospital.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 54 kes memerlukan bantuan pernafasan,” tambahnya.

Beliau dalam pada itu memaklumkan Kementerian Kesihatan akan membuat saringan kepada semua pelarian Rohingya yang tiba di Langkawi baru-baru ini.

“Memang betul ada pendaftaran pelarian ini kita telah pun asingkan mereka kita sedang menjalankan pengesanan dan ujian saringan kepada mereka,” ringkasnya. -MalaysiaGazette

Tiada ulasan: