HALAMAN SANTAI

Isnin, 6 April 2020

Jangan guna duit BPN main judi online – KPN

Kumara Sabapatty
MGF06042020_PC-IGP11
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador bercakap pada sidang media mengenai berkembangan Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL
 

KUALA LUMPUR – Orang ramai khususnya penerima Bantuan Prihatin Negara (BPN)  diingatkan supaya jangan sia-siakan wang yang diterima sebagai bantuan dengan menghabiskannya dengan perjudian dalam talian.

Katanya, kes judi dalam talian telah meningkat mendadak sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila orang ramai duduk di rumah mengehadkan pergerakan masing-masing.

“Saya ingin menasihati orang ramai berhati-hati dengan scammers yang terus cuba mengeksploitasi dengan pelbagai skim dan helah menipu orang ramai khususnya apabila diumumkan bantuan diumumkan disalurkan dalam akaun bank.

“Orang ramai yang diwajibkan berkurung di dalam rumah disarankan supaya mengelak perjudian dalam talian sehingga mempertaruhkan wang bantuan BPN.

“Judi online berleluasa dan kesnya meningkat, angka tak payah sebutlah, setakat sudah meningkat itu mencukupi. Mereka ini menyasarkan orang ramai yang ada di rumah bersantai menggalakkan berjudi dan saya bimbang wang prihatin tersebut akan ‘dihilangkan’ dalam judi,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman hari ini.

Menurutnya, pasukan polis akan digerakkan dan tindakan tegas akan diambil ke atas sindiket judi dalam talian dalam masa terdekat.

Dalam masa sama, Abdul Hamid juga menegaskan, polis akan mempertingkatkan pemeriksaan secara rambang ke atas semua penghantar makanan khususnya penunggang motosikal ekoran kes penyeludupan rokok haram menerusi perkhidmatan e-hailing bermotosikal.

Beliau mengakui aktiviti penyeludupan rokok haram meningkat sepanjang PKP disebabkan premis yang menjualnya kehabisan stok sekaligus meningkatkan pembelian dan penyeludupan rokok haram dengan pelbagai kaedah termasuk menggunakan e-hailing yang menghantar makanan untuk membawa rokok seludup.

“Jualan rokok halal kehabisan stok, so aktiviti rokok haram meningkat. Mereka gunakan khidmat Grab, saya percaya aktiviti ini memang berleluasa dan arahkan semua petugas bawah jalankan pemeriksaan rambang.

“Kenderaan-kenderaan yang disyaki digunakan menyeludup masuk rokok berkarton akan ditangkap.

“Motosikal penghantar makanan e-hailing seperti Grabfood juga akan diperiksa ketat secara rambang apa kandungannya di dalam kotak makanan, mungkin ada mereka tak bertanggungjawab guna lambang Grab untuk melanggar perintah dan keluar dari rumah semata mata,” tegasnya.-MalaysiaGazette

Tiada ulasan: