Anggota Parlimen Kuantan Fuziah Salleh terkejut apabila dirinya turut "lulus" untuk menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN).
"Selepas tular berita berkenaan anggota narlimen, menteri, isteri mantan perdana menteri, serta mantan timbalan menteri yang telah menerima kelulusan BPN, maka saya terpanggil untuk membuat semakan diatas talian untuk diri sendiri.
"Dapatan saya sungguh mengejutkan kerana saya juga didapati lulus untuk menerima bantuan tersebut.
"Ingin saya jelaskan bahawa saya bukan penerima Bantuan sara Hidup (BSH) dan juga saya tidak pernah memohon untuk BPN," kata bekas timbalan menteri di JPM itu dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, Malaysiakini dalam satu carian di laman web Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mendapati bahawa isteri bekas perdana menteri Najib Razak iaitu Rosmah Mansor lulus menerima BPN.
Carian
itu dibuat selepas tular di media sosial apabila netizen menggunakan
nombor kad pengenalan Rosmah bagi kegunaan mahkamah untuk membuat
semakan itu
Dalam hantaran Facebooknya, Najib memaklumkan Rosmah tidak pernah diberitahu bahawa dia layak mendapat bantuan itu, tetapi jika disalurkan ke akaunnya, wang itu akan disumbangkan kepada dana kerajaan Covid-19.
Selain Rosmah, bekas timbalan menteri sumber manusia, Mahfuz Omar juga didapati turut layak menerima BPN berjumlah RM1,000.
Bagaimanapun, semakan selanjutnya terhadap status bantuan BPN yang diterima Rosmah menyatakan "tiada rekod."
Untuk rekod, sistem yang digunakan oleh LHDN bergantung pada senarai BSH yang ada, di mana mereka yang layak untuk itu tidak perlu memohon bantuan BPN.
Tak boleh buat silap begini
"Kesilapan ini mungkin melibatkan lebih ramai individu lain juga.
Memandangkan bayaran akan di buat secara terus, saya khuatir, ramai yang tidak menyemak dan tersalah terima.
"Sumber negara harus di gunakan sebaik mungkin dalam keadaan kita memerangi Covid-19 dan kita sebagai negara tidak mampu untuk membuat kesilapan begini," katanya lagi.
Hasil semakan, Malaysiakini
juga mendapati bahawa sekurang bekas timbalan menteri Razali Ibrahim
dan Anggota Parlimen Dungun Wan Hassan Mohd Ramli masing-masing layak
mendapat RM1,000 dan RM1,600 bantuan BPN.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan BPN pada 29 Mac lalu, sebahagian daripada pakej rangsangan ekonomi untuk merancakkan ekonomi akibat Covid-19.
Antara lain, kerajaan akan membayar individu bujang sebanyak RM800 pada bulan April dan Mei, jika mereka berpendapatan di bawah RM2,000 sebulan.
Manakala individu bujang berpendapatan antara RM2,001 dan RM4,000 akan menerima RM500 sepanjang tempoh tersebut.
Sementara itu, isi rumah yang berpendapatan RM4,000 dan ke bawah akan menerima sejumlah RM1,600, manakala isi rumah yang membuat antara RM4,001 dan RM8,000 akan mendapat RM1,000.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan