Khaidir Khatib, bekas Setiausaha Politik dan Akhbar kepada Allahyarham Dato’
Muhammad Asri Haji Muda, ketika Asri menjawat peranan Menteri Besar Kelantan;
pernah menceritakan perihal satu pesan oleh pemimpin gerakan Islam Indonesia,
Allahyarham Muhamad Natsir dari Parti Masyumi Indonesia kepada PAS.
Ketika itu Muhamad Natsir sempat menjadi Perdana Menteri Indonesia selama
enam bulan antara tahun 1950-1951 iaitu di bawah Presiden Soekarno. Ini sebelum
berlaku perselisihan politik yang akhirnya mengakibatkan Masyumi terlantar dari
politik Indonesia.
Sebelum meninggal dunia Muhamad Natsir sempat menitipkan satu pesan untuk
disampaikan kepada Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan
Yang Dipertua PAS Pusat, Ustaz Fadzil Mohd Noor. Pesan itu menerusi Khaidir
Khatib. Bunyi pesan itu begini:
“Saya mengingatkan pemimpin-pemimpin PAS di negeri ini supaya jangan leka
dengan kemewahan dunia. Saya tidak bimbang sekiranya pemimpin PAS mengalami
kesusahan hidup tetapi khuatir seandainya diuji dengan kesenangan ataupun
kemewahan.”
Muhamad Natsir menambah lagi, “Maklumkan kita orang biasa, apabila kita
tidak biasa dengan kemewahan tiba-tiba datang, sudah tentu kita terpesona dan
lalai dengan kemewahan tersebut.”
Pesan-pesan terakhir Muhamad Natsir itu diungkapkan kembali
menerusi satu wawancara dengan Ramli Yamat untuk siaran akhbar Harakah
dalam tahun 1993.
Masyumi, untuk generasi baru PAS yang kurang membaca sejarah bermaksud
Majlis Syura Muslimin Indonesia. Ia ditubuhkan sekitar tahun 1945, ketika
pendudukan Jepun.
Dalam tahun 1955, 48 peratus undi Masyumi ketika pilihan raya Indonesia ,
tidak tertumpu di Pulau Jawa semata, tetapi tersebar di seluruh Indonesia
berbanding parti lain seperti PNI (Partai Nasional Indonesia) ataupun PKI
(Partai Komunis Indonesia). Ini menunjukkan Masyumi adalah sebuah gerakan
politik yang berpengaruh besar.
Di Malaysia, dalam tahun 1960-an; peranan Muhamad Natsir juga amat mustahak
dalam memulihkan hubungan Malaysia dan Indonesia setelah berlaku peristiwa
pahit Konfrontasi.
Kebimbangan Muhamad Natsir betapa pemimpin PAS akan terpengaruh dengan
kemewahan dunia bukanlah tidak berasas. Pada 7 Jun 1992, di Dewan KIA Alor
Setar, Kedah; Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat berucap dalam satu majlis
penerangan PAS Kedah dengan tajuk ‘Penghayatan Untuk Sebuah Kemenangan’.
Lepas menang
di Kelantan
Untuk satu nota, PAS ketika itu baru memenangi Pilihan Raya Umum 1990 di
Kelantan, dan bukan beroleh kuasa dengan cara bolos menebuk atap, menyusup ikut
dapur, menyelinap ikut jamban, atau pecah masuk melalui pintu belakang.
Tuan Guru tidak alpa dengan kemenangan sebaliknya sangat berjaga-jaga
menceritakan bagaimana PAS diduga dengan kemewahan ketika PAS terbabit dalam
kerajaan campuran di peringkat persekutuan pada tahun 1972 tersebut.
Persemendaan PAS di peringkat persekutuan itu berlaku ekoran rusuhan 13 Mei
1969. Nik Aziz menyatakan, saya kutip:
“Kerajaan campuran diwujudkan di Kelantan di peringkat persekutuan pada
tahun 1972, ekoran daripada peristiwa berdarah 13 Mei 1969, Dato Md Asri Haji
Muda melepaskan jawatan Menteri Besar Kelantan untuk menduduki kerusi menteri
pusat.
Susunan ini kemudiannya dipereratkan melalui konsep BN pada tahun 1974.
PAS
ternyata mendokong kerajaan bukan sahaja di Kelantan malahan di peringkat
pusat. Cabaran-cabaran dan ujian-ujian kemewahan hidup mulai mengepung para
pimpinan PAS.
Dalam keadaan inilah Umno merancang kejatuhan PAS dan memang pakatan jahat
itu berjaya dilaksanakan melalui pemerintahan Majlis Gerakan Negara (Mageran)
di Kelantan pada 1977.
Pemerintahan darurat ini diisytiharkan oleh kerajaan persekutuan ekoran usul
undi tidak percaya ahli-ahli Dewan Undangan Negeri PAS terhadap Menteri Besar
Dato’ Haji Mohamad Nasir. Pilihan Raya Negeri Kelantan 1978 menyaksikan
kejatuhan PAS setelah 18 tahun memerintah.”
Nah, inilah puncanya Tuan Guru Nik Aziz sangat antikhianat dan sangat
menolak sebarang persetubuhan antara PAS dan Umno. Nik Aziz tahu persetubuhan
itu memang sedap. Akan tetapi kesedapan itu tidak berbaloi kerana ia
menjahanamkan roh gerakan Islam. Nik Aziz tahu, kerana Muhamad Natsir dari
Masyumi pernah terkena.
Menurut Tuan Guru Nik Aziz lagi, dalam ucapan beliau pada tahun 1992 itu,
Dewan Ulama PAS Negeri Kelantan telah membuat kajian untuk mengenal pasti sebab
musabab PAS ditolak rakyat Kelantan pada tahun 1978. Kalah sehingga hanya
sekadar memenangi dua dari 36 kerusi Dewan Undangan Negeri.
Terdapat tujuh punca PAS ditolak rakyat pada tahun 1978. Punca-punca ini
terpakai untuk PAS pada tahun 2020. Yakni 30 tahun setelah ucapan Nik Abdul
Aziz di Alor Setar ini. Elok kalau pengikut PAS merenung apa yang digariskan
Nik Aziz itu. Tujuh sebab tersebut adalah, saya petik semula aslinya:
A. Pemimpin cuai terhadap pergerakan parti bila mana berada dalam BN
(1974-1978).
B. Hasil kemenangan perjuangan dalam bentuk kebendaan telah meresapi
kehidupan pemimpin sehingga rakyat terasa asing dan tersisih.
C. Tiada teguran-teguran yang membina diberikan kepada pemimpin tertinggi
disebabkan kebimbangan akan kehilangan kepercayaan mereka.
D. “Gelombang intelek” menguasai pemimpin parti.
E. Perebutan di kalangan setengah pemimpin untuk menjadi calon dalam
pilihanraya.
F. Pergolakan puak-puak dalam pemimpin parti di Kelantan.
G. Kurang kewaspadaan terhadap usaha-usaha jahat Umno yang menjadi rakan
dalam BN.
PAS bawah
Fadzil Noor
Tujuh sebab ini juga jika kita tekuni menjadi tenaga perubahan PAS
pasca-1978 itu sehingga ia menjadi sebuah parti yang sangat demokratik dan
mendokong demokrasi di bawah Ustaz Fadzil Noor.
Orang bijaksana akan menyatakan sejarah itu pengulangan, atau secara
mudahnya ‘sejarah akan berulang’. Sesungguhnya tukang tabur pukat yang membawa
PAS ke jalan Perikatan Nasional ini, akan menjadi tukang tabur jala yang sama
menceburkan PAS dalam tujuh kancah di atas kembali.
Ia akan membawa PAS kepada lapis-lapis pengkhianatan terhadap rakyat. Yang
bertindanan seperti mana lapis-lapis kemewahan yang dibimbangi oleh Muhamad
Natsir dan Nik Abdul Aziz Nik Mat itu bertimpaan. PAS 2020 makin terjatuh dalam
gaung tujuh lurah yang dipesan supaya dihindar pada tahun 1972 di atas.
Nik Aziz kita semua tahu seorang yang cakap serupa bikin, beliau memilih
kehidupan sederhana, tidak bermewahan, antikhianat, berpegang pada janji dan
menolak sebarang usaha tebuk atap atau pecah masuk belakang.
Nik Aziz juga seorang tokoh yang demokratik. Nik Aziz seorang demokrat yang
tidak percaya kepada kerajaan pintu belakang. Nik Aziz bukan ulama atau mufti
rasis yang mempertahankan perkataan khianat.
Akan tetapi mengapakah PAS, atau ahlinya tidak menyedari ini semua terjadi?
Padahal Nik Aziz telah memberi firasatnya pada 1992; iaitu ‘kebendaan yang
meresap kehidupan pemimpin’; ‘tiada teguran membina diberikan kepada pemimpin
tertinggi’ disebabkan takut atau wala yang bongok; ‘dan kurang kewaspadaan
terhadap usaha jahat Umno.’
Firasat Tuan Guru Nik Aziz itu nampaknya mengenai sangat dan berbetulan
tepat pada tahun 2020, yakni 30 tahun setelah almarhum mengingatkan pengikut
PAS mengenai penghayatan sebuah kemenangan.
Seorang dua mewa
Kita hidup dalam hari-hari penciptaan sejarah yang maha hebat dan besar.
Kejahatan telah kembali, dan sekali lagi lebai diperdaya dan ditipu kerana ada
seorang dua yang mewa.
Soalnya pada tahun 1978, PAS memiliki tokoh seperti Mohd Amin Yaakob, Ustaz
Yahya Othman yang menerokai usaha muhasabah yang menurut Nik Aziz, ‘dilakukan
dengan begitu berterus-terang sehinggakan ‘tidak disenangi oleh sebahagian
tokoh-tokoh lama parti’.
Jadi Yahya Othman melakukan muhasabah jemaah tanpa terbawa-bawa dengan
ugutan harus wala membabi buta. Dan juga PAS tatkala itu punya Tuan Guru Nik
Abdul Aziz Nik Mat yang bersederhana dan tidak sampai menerima habuan 85 ribu
plus plus sebulan.
Hari ini PAS tidak memiliki pemimpin yang berketokohan apatah lagi berwibawa
untuk membetulkan PAS kembali. PAS memerlukan tokoh seperti Ustaz Fadzil Noor,
atau Tuan Guru Nik Aziz. Merenung firasat 1992 untuk muhasabah 2020; siapakah
tokoh muda yang akan menyelamatkan PAS dari petaka dan dosa besar khianat
berbohong dan tebuk atap yang sangat dahsyat ini.
Kerja memimpin gerakan Islam dan umat bukan kerja seorang nelayan. Kerja
nelayan ialah menangkap ikan siakap senohong gelama ikan duri. Ia juga bukan
kerja seorang perawat jin dengan jampi ruqyah fuh kanan fuh kiri. Perawat jin
mungkin sekadar mampu memulih tenaga batin. Ia tidak dapat memulih tenaga
harakah Islamiah.
Lebih dahsyat, Tahun 2020 ini bukan sekadar nama parti Islam yang jadi
taruhan. Malang sekali, tindak tanduk kohong khianat itu telah meletakkan nama
Islam sendiri menjadi taruhan.
FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut
Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan