Perlu sama-sama pikul tanggungjawab putuskan rantaian COVID-19

KUALA LUMPUR
– Ketika barisan hadapan negara memikirkan pelbagai kaedah sebagai
‘strategi keluar’ untuk menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
semasa ancaman wabak COVID-19, orang ramai juga perlu memainkan peranan
dengan ‘strategi’ mereka sendiri.
Tidak cukup sekadar ‘menunggu,’ orang
ramai perlu bersama-sama memikul tanggungjawab memutuskan rantaian
COVID-19 jika tidak mahu lagi ‘terkurung.’
Pengurangan kes kebolehjangkitan ini
dilihat paling penting supaya tugas pengawalan akan menjadi lebih baik,
tegas Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah semalam.
Katanya pengurangan kes yang masih
dirawat menjadi indikator kepada strategi keluar dalam menasihatkan
Majlis Keselamatan Negara untuk menamatkan PKP.
Semalam, kes kebolehjangkitan hanya
berbaki 2,198 dengan kes positif baharu hanya 69, dan menjadi harapan
Noor Hisham sebagai ‘jeneral perang’ wabak berkenaan supaya kes
kebolehjangkitan ini terus kekal berkurangan.
Kerja keras dan strategi barisan hadapan
ini bagaimanapun akan menjadi sia-sia sekiranya masih ramai antara kita
yang bersikap sambil lewa malah ‘menipu’ hanya untuk keluar dari rumah
dan melepasi sekatan jalan raya.
Malah Menteri Kanan (Kluster Keselamatan)
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media hariannya semalam
mengambil peluang untuk memberi peringatan bahawa perkara sedemikian
adalah salah di sisi undang-undang.
“Jangan berbangga apabila melakukan kesalahan dan mengajak orang lain untuk melakukannya,” kata beliau.
Jika barisan hadapan melihat kepada
pengurangan kes kebolehjangkitan, apa salahnya jika orang ramai turut
meletakkan strategi keluar masing-masing dengan mengurangkan kekerapan
keluar dari rumah hanya dalam tempoh PKP ini. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan