HALAMAN SANTAI

Sabtu, 4 April 2020

Tiada kompromi penyebar berita palsu Covid-19

Manzaidi Mohd Amin
MGF13032020_SIDANG-MEDIA-MENTERI-PERTAHANAN_05
Ismail Sabri Yaakob


KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan berkompromi ke atas penyebar berita palsu berhubung penularan wabak Covid-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, sebanyak 184 kertas siasatan telah dibuka oleh polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berkaitan penyebaran berita palsu.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 20 kes telah dibuka dan penyebar didakwa di mahkamah.

“Saya menyeru kepada orang ramai agar sama-sama membantu kerajaan menyelesaikan wabak ini, bukan menimbulkan suasana tidak tenang kepada rakyat dengan penyaluran berita tidak benar.

“Kerajaan serius bagi memastikan tindakan tegas diambil kepada penyebar berita palsu. Tidak ada siapa terlepas dari undang-undang dan tindakan,” katanya pada sidang media khas di pejabatnya di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata, pihaknya ada menerima laporan berhubung satu penyebaran berita palsu yang ditularkan kononnya penumpang pesawat dibawa dengan bas atau trak penjara ke pusat kuarantin.

Ujar beliau, laporan tidak bertanggungjawab itu tidak benar sama sekali, kerana semua penumpang yang turun dari pesawat akan dibawa menggunakan bas yang disediakan kerajaan dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Kerajaan telah menyediakan bas penumpang untuk menghantar semua ke pusat kuarantin, bukannya bas penjara atau trak seperti diviralkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Penggunaan trak hanya untuk mengangkut barang-barang mereka sahaja.

“Berita palsu ini terus berlegar dalam negara dan sangat menyedihkan ianya berlaku ketika negara berdepan dengan keadaan seperti ini,” katanya.

Mengenai pelaksanaan kuarantin wajib ke atas rakyat Malaysia pulang dari luar negara yang bermula semalam, beliau berkata, seramai 1,188 orang telah dikuarantin di seluruh negara, dengan 711 orang dikuarantin sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kata beliau, sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 19 Mac lalu seramai 4,933 orang telah dikuarantin di seluruh negara melibatkan 90 pusat dibuka.

“Bagi rakyat Malaysia yang transit di KLIA untuk pulang ke Sabah dan Sarawak, tetapi terdapat penumpang tiada tiket atau bukti perjalanan, mereka akan dikuarantin sebaik tiba di KLIA.

“Manakala yang transit dan akan meneruskan penerbangan pulang ke Sabah dan Sarawak, mereka akan dikuarantin di negeri masing-masing selama 14 hari,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: