HALAMAN SANTAI

Ahad, 4 April 2021

Apa saja pendirian Pas, mereka tiada hasrat berpisah dengan UMNO - Shahril Hamdan

Aida Aziz
Apa saja pendirian Pas, mereka tiada hasrat berpisah dengan UMNO - Shahril Hamdan
Shahril menegaskan hubungan sedia ada yang terjalin di antara kedua-dua 
parti itu dilihat sudah kukuh, bukan sahaja dalam barisan pemimpin, tetapi 
juga di peringkat akar umbi. -Gambar fail
 
SUNGAI SIPUT: Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Sufian Hamdan optimis Pas akan tetap memperkukuhkan hubungan dalam Muafakat Nasional (MN) dan tidak akan berpisah dengan UMNO.
 
Shahril menegaskan hubungan sedia ada yang terjalin di antara kedua-dua parti itu dilihat sudah kukuh, bukan sahaja dalam barisan pemimpin, tetapi juga di peringkat akar umbi.
 
"Hubungan yang sudah terjalin sampai ke bawah, ia bukan hanya hubungan antara pemimpin semata-mata tetapi di peringkat cawangan; kampung pun sudah ada semangat Muafakat Nasional.
 
"Yang mana saya rasa dalam Perikatan Nasional tidak mungkin berlaku kerana ia mendadak dan tidak dibina satu persatu sebagaimana dalam Muafakat Nasional.
 
"Ada sedikit penjelasan dari Pas berhubung perkara itu semalam, yang mana mereka masih mahu mempertahankan Muafakat Nasional.
 
"Jadi itu satu isyarat yang bagi saya menunjukkan apa saja pendirian Pas tentang Bersatu dan PN, mereka tidak lagi ada hasrat untuk berpisah daripada UMNO.
 
"Saya ambil tafsiran paling positif," katanya.
 
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan kempen 'Sambung Yang Tergendala' di Sungai Siput pada Sabtu.
 
Turut hadir Ketua Penerangan UMNO Negeri Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun.
 
Dalam pada itu, Shahril yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO berkata beliau menghormati pendirian Pas yang ketika ini mahu mempertahankan PN dan memperkukuhkan MN.
 
Bagaimanapun, katanya UMNO tidak berganjak dengan ketetapan untuk tidak akan menyertai dan bekerjasama dengan PN dalam PRU15.
 
"Ini adalah contoh bagaimana UMNO dan Pas boleh menghormati pendirian masing-masing yang berbeza.
 
"Bagi Pas untuk mencapai matlamat yang terbaik adalah bersama dengan PN, manakala bagi UMNO pula adalah bukan dengan PN.
 
"Tetapi antara UMNO dan Pas hubungan itu masih diteruskan, selagi mana ia tidak berakhir... selagi itu kita cuba kukuhkan," katanya.
 
Terdahulu, kempen 'Sambung Yang Tergendala' yang berlangsung di Sungai Siput itu membincangkan soal dasar yang merangkumi topik Jaminan Pekerjaan.
 
Kempen yang akan diteruskan di negeri-negeri lain itu bertujuan mengajak rakyat membincangkan soal dasar untuk kembalikan Malaysia ke landasan yang betul.
 
Ujar Shahril, antara dasar yang akan dicadangkan meliputi masalah pengangguran, pendapatan pegun, pertanian, pendigitalan dan pendidikan.

Tiada ulasan: