HALAMAN SANTAI

Selasa, 1 Februari 2022

Akibat khianati pesanan bijaksana Tuan Guru Nik Aziz

Di Malaysia, terdapat ramai Guru Agama yang mempunyai ilmu dan pandai mengajar tetapi bukan ramai yang mempunyai kebijaksanaan serta keikhlasan seperti Almarhum Tuan Guru Dato Nik Aziz Nik Mat.

Ramai termasuk saya yang hadir kuliah Subuh Almarhum di Masjid Pulau Melaka untuk menimba ilmu secara dekat dari Tuan Guru.

Kebijaksanaan Almarhum Tuan Guru Nik Aziz sekali lagi menyerlah melalui pesanan “jangan digigit ular dari lubang yang sama dua kali” apabila Presiden Pas hari ini bercerita tentang “itik patah kaki yang terbang meninggalkan kawan setelah pulih dirawat” yang merujuk persahabatan Pas dan Umno kebelakangan ini.

Pas berasa kecewa dan seolah-olah diperdaya oleh Umno yang setelah pulih semula, bertindak meninggalkan Pas yang telah membantunya waktu jatuh dahulu.

Pesanan Tuan Guru Nik Aziz amat jelas dan telah diulang oleh beliau beratus kali termasuk melalui ceramah umum. Pengalaman pahit lama bersama Umno di Terengganu dan Kelantan menghantui ingatan Almarhum.

Anak murid yang sayang kepada gurunya patut taat kepada pesanan gurunya apalagi apabila gurunya juga merupakan Mursyidul Am Pas.

Pesanan tersebut telah juga dibuat di Muktamar Pas dan individu tertentu yang ingin membawa Pas mendekati lubang ular berbisa yang sama telah ditegur secara terbuka oleh Almarhum.

Malangnya dugaan wang, kuasa dan pangkat kedudukan dunia ini telah mengaburi pandangan pimpinan pimpinan Pas yang mabuk terglincir dari landasan perjuangan asal Pas.

Hanya yang berani bertindak menjauhi kumpulan tersebut dan keluar Pas untuk menubuhkan AMANAH selepas pemergian Tuan Guru.

Seminggu selepas kemangkatan Tok Guru Nik Aziz, saya telah disoal oleh Ketua Kawasan Pas Kuala Terengganu mengenai penulisan artikel saya tentang jasa Tok Guru Nik Aziz kepada Pas dan umat Islam.

Nampaknya, dari saat itu lagi pesanan pesanan Tok Guru sudah mula mahu dipadamkan.

Kalaulah pesanan Almarhum tentang “jangan digigit ular dari lubang yang sama” diingati dan dipatuhi Pas, tidak akan timbul kisah “itik patah kaki meninggalkan kawan setelah sembuh”!

Pengajaran dari kisah ular berbisa yang ganas patut menjadi ingatan kepada Pas kerana telah digigit dua kali di Terengganu dan Kelantan oleh ular berwarna biru Barisan National – Perikatan yang pernah dahulu pun bergabung dengan Pas.

Ini termasuklah kali ketiga Pas masih bermain di lubang yang sama didiami ular berbisa yang sama kerana terlalu cinta pada pangkat, kedudukan dan wang.

Kasihan ahli dan penyokong Pas yang terheret bersama mengalami sakit gigitan ular berbisa akibat tindakan pemimpin Pas yang memilih untuk melupakan pesanan Almarhum Nik Aziz.

Bukan itu sahaja, perjuangan melawan rasuah serta penyelewengan, janji RUU 355, hudud, basmi judi dan sebagainya hilang begitu sahaja sudah tidak kedengaran lagi dibawa lari oleh itik yang cekap berenang dan kini dilupai Pas.

Kalau sebelum ini Pas mengajar kita mencari keredhaan Allah terlebih dahulu dan bukan kemenangan, hari ini kuasa dan pangkat adalah segala-galanya walaupun Pas terpaksa menebuk atap atau masuk melalui pintu belakang bersama Umno. Asalkan boleh apa yang dihajat.

Penyokong Pas sakit digigit ‘ular berbisa’ akibat tindakan 
pemimpin yang melupakan pesanan Nik Aziz.

Nampak gayanya ular berbahaya yang Tok Guru minta kita awasi telah melilit ketat tengkuk pimpinan Pas sehinggakan saluran bekal oksigen ke kepala telah berkurangan untuk membolehkan mereka berfikir dengan waras dan bijaksana.

Itulah akibat melupakan dan mengkhianati pesanan bijaksana Mursyidul Am yang terulung bernama Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.

Tiada ulasan: