HALAMAN SANTAI

Isnin, 31 Januari 2022

Najib bohong lagi


Bekas Presiden UMNO – parti yang dicop sebagai ‘parti berimej rasuah’ oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad – berbohong mengenai surat jemputan kepada Bersatu untuk menyertai Muafakat Nasional (MN).

Dalam hantaran di Facebooknya semalam Najib Razak berbohong mengatakan surat jemputan itu ditandatangani pada akhir Ogos 2020, sebaliknya surat itu ditandatangani pada 13 Ogos 2020.

“Ada yang masih menggunakan alasan bahawa UMNO pernah bersetuju untuk mengajak PPBM menyertai Muafakat Nasional lalu kami memungkiri janji sebagai propaganda bahawa UMNO yang tidak jujur.

“Ya, surat jemputan kepada PPBM pernah ditandatangan pada akhir bulan Ogos 2020 tetapi tak sampai 3 minggu kemudian, PN meletakkan calon untuk melawan BN di 17 kerusi DUN dalam PRN Sabah.

“PN juga meletakkan calon bebas di 6 kawasan DUN yang ditanding BN untuk memecah undi kita,” katanya menjelaskan UMNO berasa dikhianati apabila Perikatan Nasional (PN) meletak calon di 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

PRN Sabah diadakan pada 26 September 2020 ketika Malaysia di bawah pentadbiran Kerajaan PN diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Logiknya sebagai parti yang memerintah negara, PN layak untuk meletakkan calon di lebih banyak kerusi untuk menghadapi pembangkang, berbanding parti lain, termasuk UMNO yang menjadi parti yang menyokong PN.

Seperti pilihan raya yang lain sebelum ini, UMNO ketika menjadi kerajaan yang memerintah Malaysia, memonopoli semua kerusi yang dipertandingkan.

Malah, dalam PRN Johor yang akan diadakan tidak lama lagi, UMNO juga hanya menawarkan empat kerusi untuk ditandingi PAS, sekali gus menunjukkan parti itu mahu memonopoli keputusan pilihan raya.

“Jadi, adakah kamu masih mahu gunakan propaganda bahawa UMNO yang mungkir janji dan khianat MN serta PAS sebab tidak teruskan untuk mengajak PPBM sertai MN setelah kita sedar kita telah dikhianat oleh puak yang tidak jujur?,” soal Najib yang disifatkan penyamun oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana mencuri wang kerajaan.

Bekas Perdana Menteri itu dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 setelah didapati bersalah dalam kes SRC International.

Semua rahsia dan penyelewengan dilakukan pemimpin UMNO, terbongkar setelah BN, khususnya ‘parti berimej rasuah’ itu kalah teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Puluhan pertuduhan jenayah terhadap pemimpin UMNO menunjukkan rupa-rupanya itulah kerja mereka apabila beria-ia untuk menang pilihan raya – dapat mengumpul berjuta-juta ringgit dan mampu pula menyembunyikan rahsia penyelewengan yang dilakukan.

Tiada ulasan: