HALAMAN SANTAI

Jumaat, 2 November 2007

Mafrel: Kemas kini daftar pemilih tidak lengkap
Oleh FATHI ARIS OMAR

PETALING JAYA: Sebuah badan bebas pemantau pilihan raya menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan hasil kemas kini maklumat pemilih antara suruhanjaya itu dengan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang dijalankan bulan lalu.

Malaysians for Free and Fair Elections (Mafrel) juga tidak yakin maklumat dalam talian antara suruhanjaya dengan jabatan itu kerana data-data JPN didakwa tidak sepenuhnya lengkap.

"Dalam pengetahuan Mafrel, rekod JPN belum lengkap kerana proses kemasukan data jabatan itu masih berterusan," kata pengerusinya Abd Malek Hussin kepada mStar Online hari ini.

"Dengan itu dipercayai rekod semakan SPR yang diintegrasikan dengan JPN hanya berdasarkan info terkini (jabatan itu). Tetapi belum mengambil kira rekod-rekod yang belum dimasukkan."

Beliau diminta mengulas gerakan SPR mencari 22,433 pemilih yang berdaftar sekitar tahun 1950-an dan 1960-an yang masih menggunakan nombor kad pengenalan lama selama sebulan pada September.

Ogos lalu, pengerusi SPR Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata langkah suruhanjaya itu dibuat kerana nama dan nombor kad pengenalan pemilih berkenaan tidak terdapat di dalam rekod JPN.

"Oleh itu, status dan kelayakan mereka tidak dapat dipastikan. Mereka itu didaftarkan dalam tahun 1950-an dan 1960-an. Mereka juga mungkin ada atau telah meninggal dunia," beliau dipetik sebagai berkata.

Abdul Rashid berkata pengesanan itu dibuat sejak SPR memulakan sistem hubungan data antara agensi (ALIS) sejak Julai 2002 untuk menyemak secara dalam talian dengan JPN bagi menentukan atau mengesahkan setiap pemilih berdaftar.

Mafrel juga meminta SPR mengulas laporan dan syor-syor badan itu yang dikirim selepas pilihan raya kecil Machap, Melaka dan Ijok, Selangor untuk penambahbaikan lagi proses dan pelaksanaan memandangkan pilihan raya umum ke-12 dijangka akan diadakan tidak lama lagi.

Dalam laporan Mafrel, SPR disaran memastikan daftar pemilih mengandungi maklumat sahih mengenai identiti pemilih, termasuk butiran lengkap nombor rumah dan alamat sebenar pemilih untuk meningkatkan keyakinan awam mengenai peranan SPR.

Menurut Abd Malek, Mafrel dijadual mengadakan pertemuan dengan suruhanjaya itu bulan lepas tetapi tidak dapat diadakan atas sebab-sebab yang tidak dijelaskan.

Selain membahaskan syor-syor Mafrel, pertemuan itu bertujuan membincangkan proses permohonan badan bukan kerajaan (NGO) itu sebagai pemerhati sah dalam pilihan raya umum nanti.

NGO itu dalam laporannya turut mencadangkan pindaan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 untuk memasukkan peruntukan khas tentang tatacara pemerhatian pilihan raya oleh mana-mana badan pemerhati pilihan raya agar tertakluk kepada peraturan-peraturan tertentu dan dilindungi oleh undang-undang negara.

Laporan pemantauan Mafrel dan cadangan perlu antara syarat SPR sewaktu meluluskan permohonan badan itu.

Abd Malek berkata Mafrel akan memantau 20 kawasan parlimen dalam pilihan raya ke-12, termasuk di Sabah dan Sarawak.

Kawasan-kawasan tersebut dipilih berdasarkan kemungkinan wujudnya masalah-masalah pengundi hantu, pembelian undi dan keganasan antara penyokong bagi kawasan yang menyaksikan persaingan sengit.

SPR buat pertama kali mengizinkan secara rasmi pemantauan Mafrel di Machap pada April lalu sejak badan bebas itu ditubuhkan menjelang pilihan raya umum 2004.

Tiada ulasan: