HALAMAN SANTAI

Isnin, 14 Januari 2008

15 tahun 400 wanita



ALOR STAR: Sejak dibuka 15 tahun lalu, Rumah Perlindungan Nur Hana di Jalan Stadium, di sini, mengendalikan lebih 400 wanita yang mengalami pelbagai masalah membabitkan penderaan, hamil luar nikah, sumbang mahram, lari dari rumah dan masalah gangguan jiwa.

Pengasasnya, Datin Daharah Ismail, berkata penghuni yang hamil luar nikah biasanya menginap di situ sehingga selesai tempoh berpantang, manakala anak yang dilahirkan biasanya diserahkan kepada orang lain.

“Proses menyerahkan anak luar nikah kepada pihak lain untuk menjadi anak angkat dilakukan dengan pemantauan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan segala prosedur dipatuhi dan mengelak timbul masalah pada masa akan datang,” katanya.

Daharah berkata, wanita yang diterima untuk diberi perlindungan dan bimbingan di Rumah Perlindungan Nur Hana membabitkan pelbagai peringkat umur, termasuk paling muda berusia 18 tahun.

“Kami cuba memberi peluang dan kehidupan baru kepada mangsa yang mengalami masalah. Untuk itu, mereka diajar melakukan pelbagai aktiviti memasak, menjahit dan membuat kraftangan. Tujuannya supaya mereka tidak rasa terpinggir dan aktiviti yang dilakukan juga dapat menyara hidup mereka.

“Aspek keagamaan juga diberi penekanan. Mereka diajar cara bersembahyang serta mengaji al-Quran. Kami mahu mereka benar-benar insaf dan bertaubat untuk tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan sebelum ini,” katanya.

Daharah berkata, kemasukan penghuni ke rumah berkenaan diuruskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan setiap penghuni dikenakan yuran RM50 sebulan untuk menampung perbelanjaan mereka sementara tinggal di sini.

Katanya, JKM turut menyumbang wang sebanyak RM20,000 setahun untuk menampung perbelanjaan harian serta membeli barangan keperluan lain untuk penghuni di rumah berkenaan.

Menurutnya, sebelum ini beliau menggunakan rumahnya di Lorong Seri, Alor Star untuk dijadikan rumah perlindungan sementara kerana keprihatinannya membantu membela nasib wanita teraniaya.

Katanya, sejak dipindahkan di Jalan Stadium, semua penghuni rumah itu diberi perlindungan secukupnya dan pelawat tidak dibenarkan bertemu mereka kecuali keluarga dengan mendapat keizinan penjaga pusat berkenaan.

Daharah berkata, penaung rumah berkenaan adalah Sultanah Kedah, manakala penasihatnya adalah Datuk Seri Tuanku Intan Shafinaz ibni Sultan Abdul Halim.

“Di sini, kita menjaga mereka dengan baik dan kawalan ketat perlu ada bagi mengelak sesuatu yang buruk berlaku kerana kita bimbang ada orang tidak dikenali mencerobohi kawasan ini.

“Kita tidak mengambil penghuni sewenang-wenangnya di sini kerana semuanya perlu dibuat oleh JKM dulu sebelum menghantar mereka yang terpilih ke sini kerana bimbang tempat tidak mencukupi.

“Biarpun menerima dana daripada JKM, kami masih memerlukan sumbangan daripada orang ramai untuk memperbaiki rumah ini kerana wang yang ada tidak mencukupi,” katanya.

Tiada ulasan: