HALAMAN SANTAI

Isnin, 14 Januari 2008

Tiga beranak diami rumah bekas bangsal kambing.


BALING – Akibat kesempitan hidup, tiga beranak terpaksa tinggal di bangsal kambing yang terletak di kebun getah di Kampung Kemangi, Kupang dekat sini sejak dua tahun lalu.

Bekas bangsal kambing yang didiami Esah Mohd. Yusoff, 40, bersama dua anaknya Firdaus, 13, dan Siti Khadijah, 2, itu tidak mempunyai dinding tetapi hanya ditutup dengan jaring besi.

Menurut wanita tersebut, dia tiada pilihan kerana mempunyai adik-beradik yang ramai.
“Nak buat macam mana saya tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa tinggal di bekas bangsal kambing ini,” katanya.

Esah yang memperoleh pendapatan dengan menoreh getah milik arwah bapanya turut mengakui kesempitan hidupnya membuatkan dia selesa tinggal di situ.

Bagaimanapun bekas bangsal itu mempunyai bekalan elektrik manakala sumber air diperoleh daripada Projek Bekalan Air Masyarakat.

Wanita yang mempunyai 11 adik-beradik ini berkata, dia terpaksa membahagikan pendapatan hasil jualan getah dengan adikberadik yang lain setiap hari.

Lebih malang lagi apabila suaminya yang dikenali sebagai Rosli Abdul Rahim, 38, menghilangkan diri sejak Oktober tahun lalu.

Tambah Esah, setiap hari dia akan keluar menoreh getah sementara anaknya, Siti Khadijah akan dijaga oleh Firdaus. Firdaus belajar di Sekolah Menengah Jerai dekat sini.

Bagi menampung keperluan seharian, Esah turut menanam sayur-sayuran bagi membuktikan dia begitu menghargai masa selepas pulang menoreh.

Dakwa wanita ini, dia pernah memohon untuk mendapatkan bantuan rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) kepada pihak tertentu seperti pejabat daerah namun gagal.

“Mungkin ada orang lain lebih layak daripada saya,” ujarnya.

ADUN Bayu, Mohd. Salleh Yaakob ketika dihubungi berjanji akan merujuk kes ini ke Pejabat Daerah Baling untuk tindakan selanjutnya.

‘‘Jika terbukti Esah sekeluarga layak menerima bantuan, kita akan mempertimbangkannya di bawah program Baiti Jannati di bawah kerajaan negeri iaitu RM5,000 untuk membina rumah,’’ katanya.

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Kemangi, Mohd. Ali Ahmad mengesahkan pihaknya pernah mengajukan permohonan PPRT bagi pihak Esah kepada Pejabat Daerah tetapi sehingga kini tidak ada jawapan.

Pengerusi Putera UMNO, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang dimaklumkan mengenai nasib malang Esah terus mengunjungi keluarga ini untuk menghulurkan bantuan.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Baling memberi jaminan pihaknya akan membina segera rumah untuk keluarga ini.

“Kita sedih dengan nasib keluarga ini dan akan membina rumah yang selesa secepat mungkin,” katanya.

Tiada ulasan: