HALAMAN SANTAI

Jumaat, 11 Januari 2008

ADUN BN arah Tok Batin turun bendera KeADILan.


KUALA KRAU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jenderak, Pahang telah mengarahkan Tok Batin di beberapa kampung di Dun berkenaan untuk menurunkan bendera KeADILan yang dipasang oleh penduduk di beberapa penempatan di kawasan berkenaan.

Menurut Ketua KeADILan Bahagian Kuala Krau, Suhaimi Said, beberapa bendera yang telah diletakan di perkampungan orang-orang Asli di Kampung Pian, Pasu, Lubok Wong, Penderas, dan kampung-kampung sekitarnya telah diarahkan diturunkan oleh wakil rakyat berkenaan.

Suhaimi berkata Adun berkenaan turut mempersoalkan mengapa orang-orang asli di kawasan berkenaan menyertai parti KeADILan.

“Walaubagaimanapun Tok Batin berkenaan menyatakan bahawa mereka tidak mahu campur hal-ehwal politik anak buah mereka, terserahlah kepada anak buah mereka untuk memilih parti-parti politik yang disukai,” kata Suhaimi didalam blognya, http://lubokkawah.blogspot.com/.

Dalam pada itu, ketika merasmikan Jawatankuasa Daerah Mengundi (JDM) di Kampung Seboi, 9 Januari lalu, beliau memuji sikap Tok Batin- Tok Batin yang tidak mengunakan platformnya sebagai ketua untuk menghalang proses demokrasi dan menyertai KeADILan.

Katanya lagi, ada Tok Batin yang menyatakan hasrat untuk menyertai KeADILan sekiranya beliau tidak memegang jawatan tersebut.

Beliau turut berkata, lebih banyak lagi bendera KeADILan akan dipasang di beberapa kawasan di sekitar berkenaan.

Suhaimi turut mengatakan jika KeADILan dan Barisan Alternatif memerintah kelak, kerajaan akan mengeluarkan geran tanah untuk tanah kampung dan pertanian untuk orang asli seperti mana yang dilakukan oleh kerajaan negeri Kelantan.

“Kerajaan kelantan telah megambil tindakan mengeluarkan geran-geran tanah kepada orang-orang Asli,” katanya.

Selain itu projek perumahan bayaran murah dan mudah akan dilaksanakan oleh Barisan Alternatif untuk kemudahan dan keselesaan orang asli apabila kemenangan memihak kepada KeADILan kelak.

“Selama ini Kerajaan Umno dan Barisan Nasional mengabaikan kemudahan perumahan untuk orang-orang Asli,” katanya

Dalam perasmian berkenaan juga, lebih 3000 risalah mengenai Hak Asasi Orang Asli dan tuntutan mereka telah diedarkan kepada penduduk perkampungan orang asli.

Tiada ulasan: