HALAMAN SANTAI

Jumaat, 11 Januari 2008

Pemimpin Bersih diheret ke mahkamah untuk pendakwaan.
Nyza Ayob dan Intan Abdullah.


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Mahkamah Kuala Lumpur, menetapkan 17 Januari depan sebagai tarikh perbicaraan kes 17 orang aktivis Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) yang ditahan pada 11 Disember lalu atas dakwaan melanggar larangan berhimpun di bangunan Parlimen untuk menyerahkan memorandum membantah pindaan Perlembagaan bagi melanjut tempoh perkhidmatan Pengerusi Suruhannjaya Pilihan Raya (SPR).

Sebelum ini Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu, ditangkap secara kasar pada 9 Disember lalu selepas menghadiri majlis kenduri kahwin besannya di Ipoh.

Mohamad Sabu dan 17 yang lain dihadapkan ke mahkamah 10 Disember lepas.

Jawatankuasa Bersih yang juga Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli sewaktu dihubungi Harakahdaily mengesahkan sepatutnya mereka dibicarakan hari ini, bagaimanapun oleh kerana notis yang sangat pendek, ramai di antara tertuduh tidak dapat hadir.

Selain beliau, hadir di mahkamah hari ini ialah Pengerusi protem Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Nasir Hashim dan Ketua Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh.

Sementara itu Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Tian Chua juga ditahan dan dihadapkan ke mahkamah majistret Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang anggota polis pada 11 Disember lalu.

Jika didapati bersalah, Tian boleh dihukum penjara tiga tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.

Tian yang mengaku tidak bersalah dikenakan ikat jamin berjumlah RM3,000. Kesnya akan didengar pada 16 dan 17 April depan.

Menurut ahli Majlis Tertinggi KeADILan, Latheefa Koya, 13 orang lagi aktivis Bersih yang turut ditahan bersama beliau dalam kejadian tangkapan di bangunan Parlimen 11 Disember lalu, turut dipanggil namun masih belum didakwa dengan apa-apa tuduhan.

Kesemua mereka ditangkap di hadapan pintu masuk Parlimen ketika cuba menghadiri program penyerahan memorandum bantahan pindaan rang undang-undang bagi melanjutkan usia persaraan anggota SPR.

"Mahkamah telah menetapkan 17 Januari sebagai tarikh kes tersebut dibicarakan semula termasuk mengumumkan pendakwaan ke atas semua yang ditangkap," demikian ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily. - mr

Tiada ulasan: