Ajaran sesat untuk elit guna bahasa Inggeris.
SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sedang memantau sebuah kumpulan ajaran sesat disertai ramai golongan elit dan berpendidikan tinggi yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam pengajarannya.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat Selangor Datuk Abdul Rahman Palil berkata pihaknya hanya menunggu masa untuk mengambil tindakan setelah memantau aktiviti kumpulan di kawasan Lembah Klang itu selama enam bulan.
"Antara amalannya ialah berzikir tetapi bercampur lelaki dan perempuan hingga lutut bertemu lutut, tidak perlu bersembahyang Jumaat, sembahyang lima waktu boleh dikumpulkan dan membayar zakat tidak kepada pemerintah tetapi kepada ahli kumpulan sendiri.
"Sebahagian besar pengajarannya bahasa pengantar dalam bahasa Inggeris dan operasi dibuat di dalam rumah.
"Masa operasi ialah pada malam-malam hari biasa dan jika terhidu penguatkuasa nak ambil tindakan mereka akan tukar masa operasi dan berpindah dari rumah ke rumah ahli kumpulan," katanya yang enggan menyatakan lokasi kumpulan itu.
Abdul Rahman berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Konvensyen Perwakilan dan Pimpinan Persatuan Pelajar Universiti Industri Selangor (Unisel) 2008 di sini hari ini.
Beliau berkata ketua kumpulan ajaran sesat itu juga merupakan seorang elit dan berpendidikan tinggi tetapi bukan orang Selangor.
"Pengikutnya ramai, kira-kira 50 orang sekali pengajian dan aktivitinya tertutup kerana orang luar tidak boleh masuk.
"Oleh itu kita nasihatkan tokoh-tokoh tertentu yang berpengalaman, tokoh-tokoh ilmuwan dan orang korporat, kalau nak adakan amalan tarekat atau nak ajar ilmu agama janganlah tertutup untuk ahli sahaja.
"Kalau penyebaran agama secara tertutup mesti ada benda yang pelik dan sangsi," katanya. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan