HALAMAN SANTAI

Ahad, 6 Januari 2008

300 bantah ISA disurai polis.

KUALA LUMPUR: Polis menyuraikan kira-kira 300 orang yang menghadiri satu perhimpunan haram anjuran kumpulan yang menggelarkan mereka Gerakan Mansuh ISA (GMI), di Dataran Merdeka di sini malam ini.

Peserta itu yang terdiri daripada anggota GMI dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mula berkumpul sejak 8 malam, di sebalik halangan besi yang dikawal polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Setiausaha agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S. Arutchelvan, yang mewakili kumpulan itu kemudian meminta kebenaran untuk bertemu dan berbincang dengan Ketua Polis Dang Wangi ACP Mohd Zulkarnain Abdul Rahman agar membolehkan peserta perhimpunan berkumpul secara aman.

Setelah berbincang selama 10 minit, Zulkarnain memberi arahan kepada mereka untuk bersurai tepat pukul 8.30 malam yang dipersetujui oleh kumpulan terbabit dan mereka bersurai melalui Leboh Pasar Besar berhampiran Dataran Merdeka.

Dalam keadaan hujan renyai-renyai peserta perhimpunan haram sempat menyalakan lilin dan melaungkan "Say No to ISA", sebagai tanda memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) itu.

Keadaan tiba-tiba menjadi kecoh apabila segelintir peserta mula berkumpul di hadapan bangunan Majlis Peguam dan mula bersorak ke arah polis menyebabkan khidmat Unit Polis Persekutuan (FRU) digunakan.

Pasukan FRU terpaksa memancutkan air apabila kumpulan terbabit berkumpul di Medan Pasar, namun terdapat beberapa peserta yang degil terus berkumpul berhampiran stesen LRT Masjid Jamek yang menyebabkan pasukan polis berpakaian biasa mengejar mereka sehingga ke Jalan Melaka dan Lebuh Ampang.

Sementara itu, Zulkarnain ketika ditemui pemberita berkata tiada sebarang perkara yang tidak diingini berlaku dan tidak ada tangkapan dibuat berikutan dengan perhimpunan haram ini.

"Mereka tidak memohon permit untuk adakan perhimpunan, maka kita terpaksa memberi arahan kepada mereka untuk bersurai. Masalahnya ialah beberapa peserta yang degil sengaja membuat kecoh.

Terdahulu polis terpaksa menutup Jalan Raja yang terletak berhadapan Dataran Merdeka bagi menghalang kemasukan peserta perhimpunan itu sejak 6 petang. BERNAMA

Tiada ulasan: