Bapa: Anak patung yang ditemui bukan milik Sharlinie.
PETALING JAYA: Anak patung yang ditemui di atas sebuah tembok jalan kira-kira 100 meter dari rumah keluarga Sharlinie Mohd Nashar malam tadi bukan milik kanak-kanak berusia lima tahun itu yang hilang sejak Rabu lepas dan dipercayai menjadi mangsa culik.
Bapa Sharlinie, Mohd Nashar Mat Hussin, 29, berkata anak bongsunya itu yang lebih manja dengan panggilan "Nini" tidak pernah memiliki anak patung sedemikian.
"Itu bukan milik anak saya. Nini tak ada patung macam tu.
"Saya tak tahu apa kaitannya patung itu dengan kes anak saya," katanya kepada pemberita di rumahnya di sini Ahad.
Mohd Nashar berkata dia hanya mendapat tahu mengenai penemuan anak patung "misteri" itu di Taman Medan, di sini daripada beberapa penduduk kawasan itu malam tadi.
Penduduk Taman Medan PJS 2 di sini gempar dengan penemuan anak patung itu pada 10 malam tadi setelah terdapat dakwaan bahawa ia milik Sharlinie.
Patung itu dalam keadaan duduk dikatakan diletak oleh seorang lelaki yang menaiki Proton Wira berwarna hitam bersama seorang pemandu.
Polis yang tiba pada 10.40 malam, membawa anak patung itu ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya (IPD PJ) untuk siasatan lanjut.
Sharlinie dilaporkan hilang kirakira 11.30 pagi Rabu ketika bermain bersama kakaknya Sharliena, 8, di taman permainan yang jaraknya hanya 200 meter dari rumah mereka di Taman Medan di sini.
Polis yang menerima laporan kehilangan kanak-kanak itu, menjalankan gerakan besar-besaran bagi mencarinya termasuk mengedarkan poster Sharlinie serta fotofit seorang lelaki yang dipercayai penculiknya ke seluruh negara dan sempadan negara.
Kehilangan kanak-kanak itu menimbulkan kebimbangan banyak pihak termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kerana dalam kes kehilangan Nurin Jazlin Jazimin, 8, dari rumahnya di Wangsa Maju, di sini pada Ogos tahun lepas, kanak-kanak itu ditemui mati dibunuh secara kejam selepas sebulan diculik.
Mohd Nashar berkata kehilangan Sharlinie kini meninggalkan kesan mendalam kepada dua kakaknya iaitu Sharliena, 8, dan Siti Amierah, 11.
"Mereka adik beradik saya tengok sentiasa sedih dan asyik bertanya tentang Nini dan di mana adik mereka sekarang," katanya sayu.
Sementara itu, rumah keluarga itu masih terus dikunjungi pelbagai pihak yang datang untuk memberikan sokongan dan katakata semangat kepada Mohd Nashar serta ibu Sharlinie, Suraya Ahmad, 28.
Antara mereka yang hadir ialah Pengerusi Putera Umno Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang turut menyertai solat hajat di Masjid Nurul Ehsan di taman itu.
Abdul Azeez turut meminta orang ramai supaya tidak membuat gurauan yang keterlaluan berhubung kehilangan Sharlinie hingga mengganggu siasatan polis seperti meletak anak patung berhampiran rumah keluarga itu serta menghantar maklumat tidak benar melalui SMS.
"Kalau tak boleh tolong, baik diam dan berdoa sahaja.
"Mereka yang asyik mainmain SMS ini bagi saya mereka ini sama sahaja macam penjenayah yang culik Sharlinie," katanya kepada pemberita.
Abdul Azeez berkata mulai Ahad, Putera Umno yang menyumbang 10,000 poster Sharlinie akan mengedar dan menampalkannya di seluruh Lembah Kelang menggunakan khidmat anggota Kelab Motor Umno dengan dibantu Putera MIC.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamad berkata polis masih meneliti setiap maklumat yang diterima daripada awam dan sehingga ini masih belum ada sebarang petunjuk baru kes itu.
Katanya dalam langkah terbaru, polis meminta bantuan jawatankuasa kampung serta Persatuan Penduduk dan Rukun Tetangga supaya mengawasi individu yang mencurigakan di kawasan masing-masing dan membuat laporan polis jika perlu.
Beliau berkata polis juga sedang menyiasat motif anak patung itu diletakkan di kawasan berkenaan selain menggunakan khidmat pakar psikologi dari Bukit Aman untuk mendapatkan lebih banyak maklumat daripada Sharliena, iaitu orang terakhir yang bersama Sharlinie sebelum dia dilarikan. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan