Tusuk jarum dadah ke muka polis, lelaki ditembak.
KUANTAN: Seorang lelaki yang menusuk jarum suntikan terhadap seorang pegawai polis dan cuba menetaknya dengan parang ketika ditahan ditembak dalam satu operasi bersepadu di Jenderak Utama, Temerloh, Ahad.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, ACP T. Narenasagaran berkata lelaki berusia 37 tahun, yang merupakan orang kena pengawasan dadah di Triang, cedera di paha kanan dalam kejadian pada 10.45 pagi itu.
Beliau berkata kejadian itu berlaku ketika polis dari Cawangan Narkotik Temerloh menjalankan operasi di kawasan terbabit yang dipercayai tempat pengedaran dadah.
"Sebelum itu, suspek cuba melarikan diri dan dikejar anggota polis dan ketika berlaku pergelutan antara lelaki itu dan seorang pegawai berpangkat inspektor, dia cuba menusuk jarum suntikan mengandungi dadah dipercayai heroin ke bahagian muka tetapi terkena lengan kiri pegawai terbabit," katanya.
Narenasagaran berkata apabila suspek melarikan diri, satu das tembakan amaran dilepaskan dan ini tidak dihiraukannya.
"Suspek kemudiannya mengambil sebilah parang dari halaman sebuah rumah dan ketika dia cuba menetak pegawai polis itu, satu das tembakan dilepaskan dan terkena paha kanan lelaki itu," katanya.
Lelaki itu dibawa ke Hospital Sultan Ahmad Shah Temerloh untuk rawatan dan ditahan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana kesalahan cuba membunuh.
Pegawai polis berusia 26 tahun itu turut dirawat di hospital itu akibat terkena tusukan jarum suntikan.
Narenasagaran berkata polis menemui lima tiub dadah dipercayai heroin dalam poket seluar suspek selain jarum suntikan dan peralatan dipercayai untuk menghisap dadah. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan