Demokrasi Malaysia sama dengan demokrasi ala Putin di Rusia.
Ali Bukhari Amir.
KUALA LUMPUR (Hrkh) - Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Anuar Tahir menyifatkan bahawa amalan demokrasi yang dilaksanakan kerajaan BN hari ini mirip amalan demokrasi Presiden Rusia Vladimir Putin.
"Saya nak beritahu kepada semua SB (anggota polis Cawangan Khas) yang mungkin sedang mengintip di bawah pokok di sana, tolong beritahu kepada ketua anda Abdullah Ahmad Badawi demokrasi di Malaysia kini ialah mirip kepada amalan demokrasi ala Putin di Rusia.
"Ruang tidak diberi kepada pembangkang melalui penyiaran di Rusia dan hal ini persis di Malaysia," katanya dalam satu majlis ceramah kelompok di Serdang kelmarin.
Turut diundang bagi menyampaikan ceramah ialah Timbalan Pengarah Lujnah Buruh dan Peneroka Bandar, Cikgu Ahmad Izham Ahmad dan Ketua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman.
Majalah antarabangsa Time keluaran 31 Disember tahun lalu menyifatkan Presiden Rusia Vladimir Putin sebagai Tsar of The New Russia.
Pilihan Raya Rusia
Dalam pada itu, dalam satu temu bual, Putin diasak dengan pertanyaan, kenapakah dalam pilihan raya Rusia yang terkini, beliau anda tidak mengadakan pilihan raya yang telus?
"Misalnya," kata Time, "anda telah memenjarakan saingan politik anda Garry Kasparov."
Garry Kasparov adalah seorang juara catur bertaraf dunia dengan gelaran Grand Master. Gelaran itu telah menaikkan nama Rusia di pentas dunia dalam arena sukan catur.
Putin menjawab, "Ketika ditahan, kenapa Kasparov, berbicara dalam bahasa Inggeris dan tidak dalam bahasa Rusia? Apabila seseorang ahli politik bekerja untuk bangsa lain yang melebihi bangsa Rusia, ia menggambarkan sesuatu."
Anuar berkata, dengan jentera maklumat yang dikawal sepenuhnya oleh kerajaan, segala pandangan pemerintah akan dipancar langsung kepada rakyat dalam pilihan raya.
"Najib ada media di mana pada hari ini jika ucapannya didengari oleh jumlah kecil sekali pun, nanti malam ucapannya disiarkan oleh tv. Ini menyebabkan lebih ramai rakyat yang boleh mengikuti pandangannya," kata Anuar.
Oleh itu, sempena pilihan raya yang semakin dekat, Anuar menyeru para pendokong PAS dan rakyat prihatin supaya membeli 10 akhbar Harakah pada setiap kali keluaran untuk diedarkan kepada lebih ramai khalayak.
"Setiap kali kita pergi ke mana-mana, kita akan letakkan Harakah secara percuma. Kalau kita solat di surau, masjid maka di situ kita letakkan Harakah untuk bacaan semua.
"Kalau kita ke stesen bas, kedai kopi, restoran atau mana-mana tempat tumpuan khalayak dan tiada Harakah lagi di situ, maka letaklah senaskhah," kata beliau.
Anuar berkata, pendekatan memujuk pengundi yang berada di atas pagar adalah penting bagi memastikan kemenangan PAS bersama parti-parti alternatif dalam pilihan raya depan.
"Lihat bagaimana anak-anak kita ditipu hidup-hidup apabila mereka mengatakan bahawa pendidikan adalah percuma. Kini rakyat dibebankan bayaran tambahan. Ada yang beratur lama dan apabila tiba gilirannya dia pulang hampa kerana bayaran tambahan tidak lunas.
Pengundi atas pagar
"Jadi, kita nasihatkan orang atas pagar. Kita tahu ayah, datuk anda memang Umno.
Tapi, apa salahnya untuk pilihan raya kali ini kita undi BA untuk ubah nasib kita sendiri," kata Anuar ketika menjelaskan bebanan rakyat akibat menerima demokrasi ala Putin ini.
Menurut satu laporan, ramai wartawan Rusia yang telah terbunuh. Lalu, pihak Time telah mengajukan isu ini kepada Putin, "adakah anda dan Rusia akan melakukan sesuatu untuk menghalang pembunuhan ini daripada terus berlaku?"
Putin di dalam jawapannya berkata bahawa ramai pihak, termasuk wartawan telah diupah bagi melakukan hal yang disifatkannya sebagai persekongkolan antara wartawan bersama usahawan. "Malah, mereka bersama ahli perniagaan yang ada rekod jenayah," kata Putin.
Sejauh mana benarnya kenyataan Putin ke atas isu tersebut belum pernah didebatkan serta dibuktikan secara terbuka. Sedikit sebanyak, hal ini membuktikan bahawa Malaysia mirip kepada amalan demokrasi ala Putin di Rusia.
Mengenai isu Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), Anuar berkata, Malaysia mendapat suntikan dana berbilion ringgit di kawasan tersebut yang kebanyakannya adalah daripada para pelabur Timur Tengah.
"Singapura adalah negara satelit bagi Israel. Sekarang kita buka WPI untuk mereka dan banyak pihak berkata kawasan itu akan menjadi sebahagian daripada Singapura.
"Tapi, tiadalah seorang pun yang dapat pastikan siapa sebenarnya dalang yang menyuntik wang ke negara ini," katanya. Negara haram Israel terletak dalam wilayah Timur Tengah. "Malah, orang Johor dah mula panggil Johor Bahru, JB sebagai Singapura Baru, SB," tambah Anuar.
Sementara itu, Ketua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman berkata, di antara cabaran utama menjelang pilihan raya adalah bagaimana mahu merakyatkan bahan-bahan dalam Harakah Daily agar majoriti rakyat yang tidak dapat akses kepada internet turut mengetahuinya.
"Kita tahu bukan saja masyarakat terpinggir di desa atau warga tua tak mudah mendapatkan capaian ke atas internet, malah ramai penduduk kota besar pun tidak mengetahui maklumat dalam laman web atau blog. Oleh itu, cari jalan untuk menyampaikan bahan yang berkualiti kepada semua.
"Punggah bahan internet, sebar luaskan kepada semua pengundi supaya mereka mudah untuk membuat keputusan menolak BN dalam pilihan raya nanti," katanya.
Tekanan Abdullah Badawi
Ahmad Lutfi turut menjelaskan suasana kebebasan akhbar yang semakin tertekan di bawah pemerintahan Abdullah. Beliau mahu aktivis pembangkang sentiasa kreatif mencari jalan keluar bagi memastikan maklumat dan pendedahan baru, seperti kes bekas Menteri Kesihatan, Dato' Seri Chua soi Lek, sampai kepada rakyat.
"Kita mungkin akan berdepan tempoh kempen terpendek, mengulangi pilihan raya 2004, tidak sampai lapan hari. Rancanglah dari sekarang mekanisme terbaik untuk melalui suasana terburuk dalam masa berkempen nanti," kata Lutfi.
Sementara itu, Cikgu Ahmad Izham Ahmad menyentuh tentang penduduk kampung setinggan yang tidak pernah mendapat pembelaan Umno dan kerajaan negeri Selangor selama ini.
Beliau mendedahkan sikap Adun Umno-BN yang langsung tidak mengambil hirau masalah setinggan yang rumah mereka telah dirobohkan. "Walhal golongan ini telah memberi sokongan besar kepada Umno dalam setiap kali pilihan raya, jadi bantulah mereka meringankan bebanan hidup," ujarnya.
"Ia lebih kurang isu yang disiarkan Harakah seperti Rimba Jaya dan Kg Berembang. Dan yang merumitkan penduduk di situ ialah majlis perbandaran, Adun BN dan pemaju tidak mahu berurusan dengan penduduk yang menjadi mangsa, membuatkan ada yang terpaksa tinggal di bawah-bawah pokok," katanya.
Menurut Cikgu Izham pembangunan dan kemajuan negeri Selangor yang mahu setinggan dan pembangkang disifarkan, akan hanya mengundang bencana ke atas rakyat Selangor.
"Elit politik ini siang malam memikirkan duit, duit dan duit. Susah perit rakyat tidak pernah dihiraukan mereka, malah jika ada golongan bawahan mengadu hal kepada wakil-wakil rakyat BN ini, rakyat pula yang dipersalahkan, ada ke patut?" soalnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan