HALAMAN SANTAI

Ahad, 6 Januari 2008

SPR perlu ambil pengajaran kekacauan di Kenya.


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) perlu mengambil iktibar daripada kekacauan dan kemelut politik yang berlaku di Kenya akibat hilangnya kepercayaan rakyat negara itu kepada badan pengendali pilihan raya negara tersebut, kata Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa.

Dalam satu kenyataan yang dimel-e ke pejabat Harakah, petang tadi, Mujahid berkata, sebahagian rakyat Kenya yang tidak berpuas hati dengan kekalahan calon mereka, Raila Odinga mendakwa suruhanjaya pilihan raya negara itu 'mencuri undi' dengan melakukan penipuan.

Kebangkitan rakyat Kenya dari etnik Luo itu, ujarnya telah memaksa Ketua Suruhanjaya Pilihan Raya Kenya, Samuel Kuivitu, mengakui 'tidak pasti' siapakah yang menang dalam Pilihan Raya Presiden negara itu.

"Kenyataan Kuivita itu mengukuhkan lagi dakwaan pengundi apatah lagi pegawai-pegawai SPR Kenya mengaku bahawa adanya perubahan pada dokumen-dokumen yang mereka terima," ujar Mujahid.

Kerajaan pimpinan Presiden Mwai Kibaki bagaimanapun menuduh Odinga bertanggung jawab terhadap keganasan kaum dan mengetuai kempen penghapusan etnik terhadap para penyokongnya dari etnik Kikuyu.

Odinga mempertikaikan keputusan pilihan raya Presiden 27 Disember lalu mengakibatkan kekacauan berlaku dengan angka korban melebihi 300 orang.

Mengulas lanjut, Mujahid mahu insiden yang belaku di Kenya ini diambil pengajaran oleh SPR Malaysia khususnya pengerusinya yang dipertikaikan rakyat, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.

"Kalau Kenya yang aman boleh jadi huru hara kerana penyelewengan SPR-nya dan kegagalannya untuk bersikap adil maka Malaysia tidak mustahil akan huru-hara jika Tan Sri Abdul Rashid terus bersikap keras kepala dan bisu kepada tuntutan Bersih (Badan Menuntut Pilihan Raya Besih dan Adil)," katanya.

Menurut Mujahid, Bersih berusaha memastikan huru-hara tidak berlaku kerana apabila pengundi merasakan undi mereka 'dicuri' SPR akan dipersalahkan.

"Lebih buruk daripada itu, huru-hara akan berlaku kerana hilang kepercayaan kepada SPR akan membawa kepada keadaan ekonomi yang lembab, hilang FDI (pelaburan terus asing) dan membuka jalan kepada golongan yang akan mengambil kesempatan dengan sikap chauvinist perkauman.

"Oleh itu SPR Malaysia mesti memandang jauh kepada masa depan pilihanraya di negara ini," tegasnya.

Mujahid juga menasihati Abdul Rashid supaya tidak menjadi 'hamba golongan tertentu' dengan sanggup menggadaikan keamanan yang dinikmati hari ini.

Malah Abdul Rashid, ujarnya mesti berterima kasih kepada rakyat Malaysia kerana jika insiden di Kenya berlaku di negara ini, beliau tidak akan berpeluang menerajui SPR selepas PRU 1999.

"Tapi yang peliknya Kerajaan BN meneruskan perlantikannya dan untuk melakukan demikian Parlimen terpaksa meminda Perlembagaan bagi melanjutkan tempoh perkhidmatan Pengerusi SPR semata-mata kerana Abdul Rashid sudah melampaui umur persaraan," ujarnya.

Mujahid turut mengingatkan kerajaan BN dan SPR terhadap tuntutan Bersih yang belum dipenuhi iaitu pembersihan daftar pemilih, akses kepada media dan penghapusan undi pos.

"Saya mencadangkan Pengerusi SPR letak jawatan, bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada sistem pilihan raya di negara ini kerana apabila melihat apa yang berlaku di Kenya," tambah beliau.

Kenya adalah sebuah negara Afrika yang paling menikmati keamanan dan kedamaian berbanding negara-negara lain di benua itu.

Namun keadaan ini tidak berkekalan apabila keputusan pilihan raya Presiden yang menyebelahi calon menunggu, Mwai Kibaki dipertikaikan dan menimbulkan kemarahan rakyat.

Huru-hara menguasai Kenya yang satu ketika dahulu mendapat jolokan negara paling aman di Afrika.- tajdid

Tiada ulasan: