HALAMAN SANTAI

Rabu, 16 Januari 2008

Hadiah umrah kelentong
Oleh Shahrul Nizam Mohamad.


KUANTAN: Sindiket penipuan termasuk yang menawarkan pakej umrah kini dikesan menawarkan iklan dalam akhbar dalam usaha memerangkap mangsa.

Baru-baru ini, impian seorang lelaki menunaikan umrah selepas konon memenangi pakej umrah percuma selepas memenangi peraduan yang turut diiklankan dalam sebuah akhbar tempatan berkecai apabila ditipu RM3,100.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 34 tahun dari Triang, dekat Bera, Pahang, berkata dia menerima sepucuk surat konon memaklumkannya memenangi hadiah utama peraduan itu dan menerima pakej menunaikan umrah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Zaini Jass, berkata selepas menerima surat kali pertama itu, mangsa sekali lagi menerima sepucuk surat daripada syarikat akhbar berkenaan.

Menurutnya, bagaimanapun kali ini mangsa diminta membayar sebanyak RM3,100 sebagai bayaran perbelanjaan penginapan dan makanan sepanjang mengerjakan ibadat berkenaan.

Katanya, melalui surat kedua yang dipercayai palsu itu, syarikat penipu itu kemudian menyertakan nombor akaun dan nombor telefon untuk dihubungi konon bagi memudahkan mangsa membuat bayaran ditetapkan.

“Mangsa yang tidak menyangka ditipu kemudian memasukkan wang dikehendaki ke dalam akaun terbabit pada 4 dan 7 Januari lalu.

“Bagaimanapun, mangsa kemudian pergi ke pejabat urusan akhbar berkenaan di ibu negara bagi menuntut hadiah kemenangan berkenaan.

“Namun, mangsa terkejut apabila dimaklumkan syarikat berkenaan hadiah pakej mengerjakan umrah dimenangi itu sebenarnya merangkumi semua kos perbelanjaan dan penginapan sepanjang berada di Makkah.

“Mangsa yang begitu kecewa kemudian pulang dan membuat laporan di Balai Polis Triang.

“Siasatan kes terbabit masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu termasuk menyiasat sama ada penipuan itu membabitkan pihak dalaman penganjuran peraduan itu,” katanya.

Tiada ulasan: